Tuesday, 8 December 2015

Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat: Kawalan Harga

Akhir-akhir ini saya perasan paras harga di Malaysia telah naik. Ramai yang mendesak kerajaan untuk mengambil langkah untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Ada banyak cara untuk kerajaan membantu rakyat dari segi kos hidup. Antaranya ialah:

1. Pemindahan Pendapatan (Subsidi dan BR1M)
2. Kawalan Harga
3. Gaji Minimum
4. Liberalisasi Pasaran
5. Bekalan oleh Kerajaan

Saya akan menulis beberapa artikel menerangkan baik dan buruk langkah-langkah diatas. Di artikel ini saya akan berbicara mengenai kawalan harga yang sering kali dilakukan ketika musim perayaan di Malaysia.


Impak kawalan harga boleh digambarkan oleh gambarajah di atas. Kesan pertama yang boleh dilihat adalah harga turun daripada harga asal kepada harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan. Oleh itu, harga kawalan adalah efektif untuk menurunkan harga (dengan penguatkuasaan berkesan).

Namun begitu, harga yang lebih rendah ini menyebabkan permintaan meningkat. Pada masa yang sama, bekalan menurun kerana peniaga tidak ingin membekalkan barang tersebut pada harga yang rendah sebegini. Kesannya adalah terdapat kekurangan bekalan seperti yang ditunjukkan pada gambarajah di atas. Maka terdapat sebahagian rakyat yang tidak akan mendapat barang tersebut walaupun mereka benar-benar memerlukannya. Salah satu cara untuk mengatasi masalah bekalan tidak simetri (asymmetric distribution) ini adalah dengan mengenakan catuan. Ini adalah senario lazim pada musim perayaan di negara ini. Kerajaan melaksanakan kawalan harga dan bekalan di pasaran tidak mencukupi. Setiap individu hanya dibenarkan oleh peruncit untuk membeli barang berkenaan dalam unit yang terhad.

Jika pasaran bebas dikekalkan, peniaga akan dapat menjangka bahawa permintaan akan meningkat pada musim perayaan dan akan miningkatkan pengeluaran atau mengimport lebih banyak barang tersebut untuk memenuhi permintaan. Harga yang tinggi ini juga akan menarik lebih ramai pembekal dan dengan ini, kenaikan harga, walaupun akan berlaku adalah terkawal. Pembekal sayuran contohnya akan mengimport lebih banyak sayuran di musim perayaan kerana menjangkakan peningkatan permintaan. Ini menyebabkan kenaikan harga di musim perayaan kecil. Selain itu ia juga menarik lebih banyak pelaburan dan inovasi dan dalam jangka masa panjang masalah ketidaktentuan harga ini dapat diselesaikan.

Namun begitu dengan kawalan harga insentif untuk untuk meningkatkan bekalan hilang sama sekali. Malah, kerana margin semakin kecil maka peniaga akan mengurangkan bekalan dan memburukkan lagi keadaan. Kesan jangka panjang ialah kekurangan pelaburan untuk membekalkan barang tersebut dan ini akan mengurangkan persaingan di masa hadapan. Inilah yang berlaku dalam industri bekalan ayam di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh MyCC. Kesannya, masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ini akan menjadi lebih teruk dan berlarutan selama-lamanya.

Selain itu, sebagaimana yang kita tahu, campur tangan dalam pasaran bebas sentiasa mempunyai kos tersembunyi. Oleh kerana harga terlalu rendah, kadar pengeluaran jatuh dan faktor-faktor pengeluaran (seperti tanah, mesin-mesin dan tenaga pekerja) sama ada akan terbiar atau digunakan untuk aktiviti yang kurang produktif untuk ekonomi secara keseluruhannya. Inilah yang dipanggil "deadweight loss" oleh ahli ekonomi. Oleh itu, kawalan harga hanya akan menyebabkan kerugian "deadweight loss" tanpa kesan positif kepada ekonomi dalam jangka masa panjang.

Campur tangan terhadap pasaran bebas hanya wajar dilakukan apabila terdapat kegagalan pasaran (market failure). Kenaikan harga bukanlah kegagalan pasaran kerana ia adalah mekanisma untuk memastikan bahawa barang hanya diedarkan kepada yang benar-benar memerlukannya. Tanpa kenaikan harga, mereka yang benar-benar perlu tidak akan mendapat barang tersebut atau terpaksa membeli di pasaran gelap dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, justifikasi untuk mengamalkan kawalan harga adalah lemah kerana ianya meningkatkan permintaan dan menurunkan produksi/bekalan. Penyelesaian yang lebih baik adalah polisi yang dapat meningkatkan bekalan seperti subsidi pengeluaran. Campur tangan sebelah bekalan ini akan saya kupas dengan lebih lanjut di artikel-artikel berikutnya.

Tuesday, 14 July 2015

Apakah Itu Deadweight Loss?

Di dalam artikel-artikel saya yang lain saya ada banyak menggunakan frasa "deadweight loss". Ramai rakan saya bertanya apakah sebenarnya deadweight loss ini? Oleh itu, di artikel ini saya akan menerangkan dengan lebih mendalam apakah itu deadweight loss.

Secara pendeknya untuk setiap barang di dalam ekonomi terdapat jumlah keluaran yang optimum. Apabila terlalu sedikit barang itu dikeluarkan maka ekonomi tidak berfungsi pada tahap maksimum. Maka terdapat potensi kekayaan yang tidak dicapai dan inilah yang dipanggil deadweight loss. Sebaliknya apabila terlalu banyak sesuatu barang itu dikeluarkan, ianya juga merugikan ekonomi kerana sumber-sumber (resource) yang ada boleh digunakan untuk aktiviti lain yang mempunyai produktiviti yang lebih tinggi.

Berapakah jumlah keluaran yang optimum ini? Kita akan menganbil sebagai contoh barang X yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat. Barang X ialah barang biasa (normal good) maka lebih banyak X dikeluarkan, harga X akan semakin menurun. Jika 8 unit dikeluarkan harga X ialah RM 12, jika 10 unit dikeluarkan harga X ialah RM 10 dan jika 12 unit dikeluarkan harga X ialah RM 8. Secara pokoknya, setiap unit yang dikeluarkan menurunkan harga jualan sebanyak RM 1. Andaikan juga satu-satunya input untuk barang X ialah tenaga buruh (labour). Satu unit X memerlukan sejam untuk di buat dan gaji buruh sejam adalah RM 10.

Teori ekonomi menyatakan bahawa jumlah keluaran optimum adalah apabila gaji bersamaan dengan harga jualan. Oleh itu, di dalam contoh diatas, syarikat tersebut patut mengeluarkan 10 unit. Keuntungan syarikat adalah maksimum pada keluaran ini.

Cuba kita lihat jika syarikat mengeluarkan terlalu sedikit, iaitu 8 unit. Jika ia meningkatkan keluaran dan mengeluarkan 9 unit ia boleh menjual X dengan harga RM 11, tetapi kos kepada syarikat hanyalah RM 10. Maka dengan menambahkan jumlah keluaran sebanyak 1 unit, syarikat ini mampu mendapat keuntungan yang lebih tinggi. Kekayaan RM 1 yang boleh dihasilkan tetapi tidak wujud inilah yang di panggil deadweight loss. Ini bermaksud ekonomi ini mempunyai potensi yang lebih tinggi tetapi ia tidak dicapai sepenuhnya. Harga siling boleh menyebabkan deadweight loss kerana syarikat akan memotong jumlah keluaran ke tahap yang tidak efisien.

Sebaliknya jika syarikat ini mengeluarkan barang X pada jumlah yang terlalu banyak iaitu 12 unit, syarikat rugi kerana harga jualan hanyalah RM 8 tetapi harga kos ialah RM 10. Jika syarikat hanya mengeluarkan 11 unit, kerugian syarikat dapat dikurangkan sebanyak RM 1 kerana harga jualan meningkat kepada RM 9. Kerugian yang dialami kerana menghasilkan terlalu banyak inilah yang dipanggil deadweight loss. Ini boleh berlaku apabila kerajaan memberi subsidi kerana syarikat akan menaikkan jumlah keluaran. Namun begitu, kerugian ini masih wujud, cuma dengan subsidi ianya tidak ditanggung oleh syarikat tetapi oleh rakyat melalui bayaran cukai.

Secara amnya, apabila pasaran bebas keluaran akan berada pada tahap optimum dan deadweight loss tidak akan berlaku. Namun begitu, apa-apa campur tangan dalam pasaran yang menyebabkan jumlah keluaran meningkat atau menurun, maka deadweight loss akan dialami dan ekonomi akan mengecil.

Monday, 13 July 2015

Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat: Subsidi

Akhir-akhir ini saya perasan paras harga di Malaysia telah naik. Ramai yang mendesak kerajaan untuk mengambil langkah untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Ada banyak cara untuk kerajaan membantu rakyat dari segi kos hidup. Antaranya ialah:

1. Pemindahan Pendapatan (Subsidi dan BR1M)
2. Kawalan Harga
3. Gaji Minimum
4. Liberalisasi Pasaran
5. Bekalan oleh Kerajaan

Saya akan menulis beberapa artikel menerangkan baik dan buruk langkah-langkah diatas. Di artikel ini saya akan menerangkan mengenai subsidi dan BR1M.


Kebaikan utama subsidi ialah ianya efektif sebagai alat untuk menurunkan harga, seperti yang ditunjukkan pada gambarajah diatas. Dengan subsidi, harga baru adalah lebih rendah daripada harga asal. Selain daripada harga yang turun, kuantiti yang dikeluarkan oleh pengeluar juga meningkat. Ini pada sekilas pandang adalah baik kerana ekonomi akan lebih berkembang.

Namun begitu, adalah perlu diingat bahawa subsidi adalah satu langkah pemindahan pendapatan. Ini bermakna subsidi ini perlu dibiayai dengan mengenakan cukai. Ia bukanlah penjana ekonomi, tetapi hanyalah pemindahan kekayaan dari satu pihak ke pihak yang lain. Ya, untuk sektor yang diberi subsidi akan mendapat kesan positif, tetapi jika harga yang perlu dibayar adalah lebih tinggi daripada manfaat yang didapati, maka kesan bersih subsidi adalah negatif kerana ekonomi menjadi kurang efisien. Kos yang terpaksa ditanggung apabila melaksanakan subsidi ditunjukkan oleh "deadweight loss" pada gambarajah di atas (segitiga kuning).

Persoalannya, bilakah wajar untuk kita menerima "deadweight loss" ini dan melaksanakan subsidi? Ini hanyalah wajar apabila kita ingin memindahkan kekayaan daripada orang yang kaya kepada orang miskin. Subsidi minyak contohnya adalah tidak wajar. Ini kerana kajian menunjukkan bahawa lebih kaya seseorang itu, lebih banyak subsidi minyak yang dinikmatinya. Ini adalah logik kerana orang yang termiskin tidak mampu untuk membeli kereta maka tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada subsidi minyak manakala orang kaya akan memiliki kereta mahal dan berenjin besar yang menggunakan minyak yang banyak.

Subsidi bahan api secara sejarahnya adalah antara pemindahan pendapatan (transfer payment) terbesar di Malaysia. Namun begitu ianya bukanlah satu instrumen yang efektif untuk memindahkan kekayaan daripada orang kaya ke orang miskin. Kesannya ialah di Malaysia, tiada pindahan kekayaan daripada orang kaya kepada orang miskin yang efektif, seperti yang ditunjukkan oleh gambarajah di bawah:


Malaysia berada di garisan 45 darjah yang bermakna pendapatan rakyat sebelum dan selepas cukai tidak berubah. Ini kerana walaupun cukai kita progresif (orang kaya membayar cukai yang lebih tinggi), pemindahan pendapatan kita sebaliknya adalah regresif (orang kaya mendapat lebih banyak subsidi daripada orang miskin).  Negara-negara yang berwarna biru di gambarajah di atas mempunyai sistem cukai yang progresif dan sistem pemindahan pendapatan yang progresif juga (orang miskin mendapat lebih banyak subsidi/bantuan) maka pemindahan pendapatan mereka adalah efektif dan ketidaksamaan mereka, selepas cukai adalah lebih rendah. Jika kita mengalami kerugian "deadweight loss" tetapi tidak berjaya memindahkan pendapatan, maka sistem subsidi kita adalah sia-sia dan hanya memberikan kerugian tanpa apa-apa kebaikan.

Hujah utama yang menyokong subsidi minyak ialah walaupun orang miskin tidak mempunyai kereta, tetapi penghapusan subsidi minyak akan menyebabkan harga barang meningkat maka orang miskin akan terkesan juga. Ini adalah benar tetapi jika kebajikan orang miskin yang ingin kita pelihara, mengapa tidak menggunakan instrumen yang menolong orang miskin secara langsung dan bukan secara tidak langsung seperti melalui harga minyak? 

Jika menolong orang miskin adalah objektif kita, maka rata-rata ahli ekonomi bersetuju memberikan duit terus kepada orang miskin adalah langkah terbaik, seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang melalui BR1M. Ia adalah lebih baik daripada memberi kupon makanan kerana individu berbeza mempunyai keperluan yang berbeza dan duit membolehkan mereka memenuhi keperluan itu. Rata-rata kajian menunjukkan bahawa jika bantuan kewangan diberi kepada mereka yang betul-betul memerlukan, ianya akan digunakan dengan baik. Penyalahgunaan biasanya adalah kecil dan jika penyalahgunaan adalah besar pun ianya masih lebih baik daripada polisi tidak langsung seperti subsidi minyak.

Selain daripada mengalami kerugian "deadweight loss", subsidi juga meningkatkan jumlah barang subsidi yang di keluarkan dan digunakan. Sama ada ini baik atau buruk bergantung kepada jenis barang tersebut. Jika yang disubsidi ialah pendidikan atau penjagaan kesihatan, maka kenaikan penggunaan adalah baik. Ini kerana pendidikan contohnya mempunyai kesan positif yang lebih besar daripada harga yang dibayar. Ini dipanggil "positive externality" oleh ahli ekonomi.

Subsidi minyak atau gula sebagai contoh, adalah penggunaan yang mempunyai kesan buruk yang lebih mahal daripada harga yang di bayar. Ini dipanggil "negative externality" oleh ahli ekonomi. Subsidi minyak meningkatkan pencemaran alam sekitar dan menyebabkan kesesakan lalulintas yang menurunkan produktiviti negara. Rata-rata ahli ekonomi berpendapat bahawa minyak perlu dikenakan cukai untuk menggambarkan kos sebenar membakar bahan api. Subsidi gula meningkatkan penggunaan gula, yang menyebabkan penyakit kronik seperti diabetes yang kos rawatannya perlu ditanggung oleh kerajaan. Oleh itu, subsidi hanya wajar digunakan apabila penggunakan perkara itu menghasilkan "positive externality" dan cukai perlu dikenakan kepada penggunaan yang menyebabkan "negative externality".

Secara pendeknya, subsidi bukanlah pencipta kekayaan tetapi pemindah kekayaan. Memindahkan kekayaan bukan percuma dan kita perlu menerima "deadweight loss" sebagai kos. Oleh itu ianya hanya wajar apabila kesan positif pemindahan kekayaan ini melebihi deadweight loss yang perlu dibayar. Secara amnya, sistem subsidi Malaysia di masa lepas adalah tidak wajar kerana ianya tidak berkesan untuk memindahkan kekayaan. Penghapusan subsidi minyak dan pengenalan BR1M adalah langkah pertama yang baik untuk menghasilkan sistem pemindahan pendapatan (transfer payment) yang lebih efektif dan mengurangkan jurang kekayaan di negara kita, sekaligus mengurangkan kesempitan hidup rakyat miskin.

Wednesday, 17 June 2015

Adakah Ekonomi Satu Permainan Berjumlah Sifar (Zero-Sum Game)?

Baru-baru ini saya membaca di akhbar bahawa terdapat dua peniaga yang bergaduh kerana merebut tapak perniagaan bazar Ramadhan. Penganut Buddha Myanmar memberitahu bahawa mereka membunuh kaum Rohingya kerana mereka adalah pendatang yang mencuri tanah dan pekerjaan daripada rakyat jati Myanmar. Di Malaysia, seringkali orang Melayu mengatakan bahawa kehadiran orang Cina dan India menyebabkan orang Melayu hilang sumber rezeki kerana dibolot oleh pendatang-pendatang ini. Pernyataan-pernyataan sebegini seringkali kita dengar di seluruh dunia. Pernyataan sebegini wujud kerana ramai orang percaya bahawa ekonomi adalah satu "zero-sum game" di mana kekayaan adalah terhad dan kita perlu bersaing untuk mendapatkannya. Namun begitu, adakah kepercayaan sebegini wajar?

Saya ingin memberi pencerahan untuk topik ini menggunakan satu contoh. Katalah saya adalah seorang doktor yang berjalan dari rumah ke rumah untuk merawat pesakit. Berjalan adalah memenatkan dan kebanyakan hari saya habiskan dengan berjalan dan bukan merawat pesakit. Untuk menjadikan perkhidmatan saya lebih efisien saya ingin membina sebuah kereta. Ini membolehkan saya memotong masa saya berjalan dan merawat lebih banyak pesakit. Saya tidak tahu apa-apa mengenai kereta, oleh itu saya bukanlah pembina kereta yang baik. Kos untuk saya membina kereta sendiri adalah satu juta ringgit.

Kawan saya Arman pula adalah seorang jurutera automotif yang pernah berguru dengan Tuan Guru Toyoda. Oleh itu, Arman adalah pembina kereta yang baik dan mampu membina kereta yang sama dengan harga seratus ribu ringgit sahaja. Jika saya tidak membina kereta sendiri tetapi Arman yang membina kereta itu dan kemudian menjualnya kepada saya, maka kekayaan baru sebanyak sembilan ratus ribu ringgit akan dijana kerana Arman lebih cekap membina kereta daripada saya. Ahli ekonomi memanggil kekayaan baru yang dicipta ini sebagai "surplus".

Persoalannya siapa yang akan mendapat surplus ini? Jika saya orang yang rasional, saya akan membeli kereta daripada Arman jika dia membina dan menjualnya kepada saya dengan harga sembilan ratu sembilan puluh sembilan ribu sembilan ratus sembilan puluh sembilan ringgit sembilan puluh sembilan sen kerana saya akan untung sebanyak satu sen jika saya berbuat demikian. Tetapi Arman telah membuat kajian pasaran dan mendapati bahawa jika dia menjual kereta pada harga tersebut hanya saya seorang yang mampu membeli kereta buatan Arman. Tetapi jika dia menjualnya pada harga lima ratus ribu sebiji, Arman menjangka bahawa dia mampu menjual sepuluh biji dan meraih keuntungan yang lebih besar melalui jumlah.

Maka, jika Arman menjual kereta itu kepada saya dengan harga setengah juta, saya dapat jimat sebanyak setengah juta. Setengah juta ini dipanggil "consumer surplus" oleh ahli ekonomi. Arman pula akan untung sebanyak empat ratus ribu dan ahli ekonomi memanggil ini sebagai "producer surplus". (*Nota: Surplus=Consumer Surplus+Producer Surplus)

Namun begitu, Arman mempunyai seorang kembar yang juga berguru dengan Tuan Guru Toyoda bernama Arman2. Arman2 juga boleh membina kereta dengan efisien seperti Arman. Melihat Arman membuat keuntungan yang banyak, Arman2 membuat keputusan untuk menjual kereta juga. Kerana persaingan kedua-dua kembar ini, harga pasaran kereta turun separuh kepada dua ratus lima puluh ribu ringgit. Oleh itu, apabila terdapat persaingan, pengguna akan untung kerana bahagian surplus yang pergi kepada pengguna akan menjadi lebih besar.

Oleh itu, apabila terdapat transaksi ekonomi (yang bukan judi atau penipuan), surplus akan dijana. Siapa yang mendapat surplus lebih besar, sama ada peniaga atau pengguna bergantung kepada dua perkara. Yang pertama ialah permintaan terhadap barang itu. Lebih tinggi permintaan, Producer Surplus lebih besar. Yang kedua ialah persaingan daripada peniaga-peniaga lain. Lebih banyak persaingan, Consumer Surplus lebih tinggi.

Hendak dijadikan cerita, Arman mempunyai seorang lagi kembar. Kembar Arman ini malas belajar dan tidak berguru dengan Tuan Guru Toyoda. Namun begitu, kembar malas Arman cemburu melihat keuntungan besar yang diraih oleh Arman dan Arman2 dan mahu membolot semua kekayaan mereka untuk dirinya sendiri. Dia berkomplot dengan pembesar jahat negara ketika itu, Datuk Seri Bongkak. Datuk Seri Bongkak menggubal undang-undang yang menyatakan bahawa hanya kembar malas Arman yang dibenarkan untuk membina dan menjual kereta di negara tersebut.

Kembar malas Arman membina kereta dengan harga sejuta ringgit dan menjualnya dengan harga dua juta ringgit. Oleh kerana saya tidak dibenarkan membeli kereta daripada Arman dan Arman2 dan tidak boleh membina kereta sendiri, maka saya tidak mempunyai pilihan selain daripada membeli kereta daripada kembar malas Arman dengan harga dua juta ringgit.

Di dalam situasi ini, dua perkara yang berlaku. Yang pertama ialah ekonomi ini tidak mencapai potensi sebenarnya kerana sembilan ratus ribu surplus yang boleh dicapai tidak akan wujud kerana undang-undang yang digubal oleh Datuk Seri Bongkak. Yang kedua, saya perlu memberi kepada kembar malas Arman sejuta ringgit tanpa sebab yang munasabah kerana tanpa undang-undang ini, saya boleh membina kereta sendiri dan simpan sejuta ringgit tersebut. Aktiviti yang dilakukan oleh kembar malas Arman ini dipanggil "Rent Seeking" oleh ahli ekonomi. Kembar malas Arman mencipta "red tape" untuk mengutip "rent".

Situasi sebegini adalah lebih biasa daripada yang kita sangkakan. Apa-apa sekatan perniagaan atau import dan eksport akan menggalakkan "Rent Seeking". Sebagai contoh untuk membina kilang kereta di Malaysia saya terlebih dahulu perlu mendapatkan Manufacturing License (ML) daripada kerajaan. Ini bermakna kilang yang sudah beroperasi akan cenderung untuk menggunakan posisinya untuk mengutip keuntungan tanpa justifikasi. Sekatan import seperti "Approved Permit" (AP) adalah contoh  lain "Rent Seeking". Pemegang AP duduk di antara pengeksport dan pengimport dan mengutip sebahagian (atau semua) surplus. Ahli ekonomi panggil surplus yang dikutip ini sebagai "Quota Rent". Kesimpulannya, apabila pasaran bebas tanpa sekatan, maka setiap transaksi ekonomi ialah pencipta nilai.

Berbalik kepada topik asal, sebahagian besar daripada ekonomi sebenarnya adalah penciptaan nilai atau kekayaan yang baru. Namun begitu untuk mencipta nilai ini kita memerlukan faktor pengeluaran dan disinilah perbalahan boleh terjadi. Di dalam contoh Arman di atas faktor pengeluaran utama ialah ilmu pengetahuan. Di dalam contoh perbalahan tapak bazar Ramadhan faktor pengeluaran utama ialah posisi yang strategik. Ini kerana jika semua penjaja menjual makanan yang sama dengan harga yang sama, maka tapak kedai adalah faktor utama yang menentukan keuntungan. Tetapi jika peniaga ini berguru dengan Chef Wan dan menjual sebagai contoh Roti John yang tersedap di dunia, maka posisi yang strategik dan harga tidak lagi penting kerana penggemar Roti John akan datang juga tidak kira dimana gerai ini berada.

Dengan kata lain, ilmu dan kepakaran adalah faktor produksi yang paling penting kerana ia melipatgandakan faktor produksi tradisional lain seperti tanah. Oleh itu, ekonomi yang dijana oleh idea dan pengetahuan bukanlah zero-sum game tetapi "value creation". Ini disimpulkan dengan mudah oleh gambarajah daripada majalah The Economist di bawah. Jumlah tanah tetap sama tetapi jumlah kegiatan ekonomi melonjak beberapa tahun lepas ini kerana pengumpulan ilmu.


Saban kali untuk menutup kegagalan mereka sendiri untuk menjana ekonomi, sesebuah kerajaan akan menyalahkan sesetengah golongan atau negara lain. Kerajaan Myanmar gagal untuk memberi pendidikan dan mewujudkan pekerjaan kepada rakyatnya jadi mereka memesongkan perhatian rakyat dengan menyalahkan kaum Rohingya. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengelak daripada dihasut untuk menyalahkan sesama sendiri di atas keadaan ekonomi kita. Jatuh atau bangun ekonomi bergantung kepada pendidikan yang berkualiti dan institusi-institusi yang baik. Oleh itu, kita perlu bergabung tenaga dan berjuang untuk mendapatkan perkara-perkara tersebut dan bukan menyalahkan sesama sendiri.

Friday, 22 May 2015

Mengapa Meritokrasi Buruk Untuk Negara

Meritokrasi adalah perkataan yang menarik. Ia melambangkan keadilan. Siapa berusaha, dia dapat keuntungan dan siapa yang malas tidak mendapat apa-apa. Namun begitu, adakah ini semua selari dengan realiti dunia?

Bayangkan satu situasi dimana ada dua orang kanak-kanak, seorang lahir kepada sebuah keluarga kaya dan seorang lagi dilahirkan di dalam keluarga miskin. Kita boleh bayangkan 17 tahun kemudian semasa peperiksaan SPM anak yang lahir di keluarga kaya akan mendapat keputusan yang lebih baik walaupun keupayaan mereka sama ketika lahir. Ini kerana keluarga kaya mampu memberikan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak mereka. Walaupun mereka pergi ke sekolah kerajaan yang sama, ibu bapa keluarga kaya mampu memberikan pendidikan prasekolah (kajian menunjukkan pendidikan awal (kurang dari 5 tahun) memberi kesan positif seumur hidup), menghantar ke kelas piano (bermain alat muzik mampu menaikkan IQ sebanyak 7 unit), membiayai kelas tuisyen dan macam-macam lagi. Oleh itu, di bawah sistem meritokrasi, anak orang kaya juga berkemungkinan besar akan menjadi kaya, dan anak orang miskin berkemungkinan besar akan kekal miskin.

Kajian menunjukkan bahawa ketidaksamaan ekonomi (inequality) bukan sahaja akan kekal (persistent) walaupun negara tersebut semakin maju, namun jurang antara kaya dan miskin juga  akan menjadi lebih luas. Ini bermakna bahawa meritokrasi akan menyebabkan jurang ekonomi semakin membesar dan kajian menunjukkan bahawa negara yang mempunyai ketidaksamaan ekonomi yang lebih besar akan membangun dengan lebih perlahan. Oleh itu polisi egalitarian (seperti meritokrasi) adalah konsep utopia yang tidak selari dengan dunia sebenar.

Oleh itu tindakan afirmatif adalah perlu untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan memastikan bahawa pembangunan yang dicapai tidak tertumpu kepada sesetengah pihak sahaja. Namun begitu, bilakah polisi tindakan afirmatif wajar dan bilakah ianya tidak? Polisi ini wajar apabila terdapat "structural inequality", atau ketidaksamaan yang berdasarkan azali seperti jantina atau kaum. "Market inequality" adalah ketidaksamaan yang ditentukan oleh pasaran. Contoh "market inequality" adalah perbezaan gaji antara seorang doktor dan kerani. Saya yakin kita semua boleh memberikan sebab-sebab logik kenapa adalah wajar untuk seorang doktor dibayar lebih tinggi berbanding seorang kerani.

Contoh "structural inequality" adalah dua orang doktor dengan kemampuan yang sama, seorang wanita dan seorang lelaki tetapi doktor lelaki dibayar lebih dari doktor wanita. Keadaannya sebagai wanita itu di tentukan secara rawak oleh "nature" dan bukan kesan dari perlakuan diri. Apabila wujud ketidaksamaan seperti ini, adalah wajar kita menggubal polisi untuk membetulkan situasi ini. Contoh lain adalah sama ada seseorang itu lahir di keluarga miskin atau kaya. Ini juga ditentukan secara rawak oleh "nature". Oleh itu adalah wajar untuk polisi kerajaan mengurangkan kesan buruk yang timbul daripada keadaan ini.

Dasar Ekonomi Baru (NEP) yang dilancarkan oleh Tun Razak, walaupun pada zahirnya nampak seperti tidak adil, ianya adalah perlu kerana ia memperbaiki ketidaksamaan yang sedia ada dalam kehidupan. Dilahirkan sebagai bumiputra juga bermaksud berkemungkinan besar dilahirkan didalam kemiskinan. Oleh itu polisi perlu digubal untuk mengurangkan kesan buruk tindakan rawak tersebut. Sebagai ahli ekonomi, polisi pembangunan yang baik adalah pembangunan yang memberi lebih manfaat kepada orang miskin berbanding orang kaya dan itulah yang berjaya dicapai oleh NEP di masa lepas.

Hakikatnya tindakan afirmatif dilakukan di hampir semua negara di dunia. Golongan wanita di kebanyakan negara adalah penerima manfaat polisi sebegini. Tindakan afirmatif juga disasarkan kepada banyak kaum minoriti di dunia, seperti orang berkulit hitam di Amerika Syarikat. Satu-satunya sebab mengapa tindakan afirmatif di Malaysia penuh dengan kontroversi adalah kerana ia di sasarkan terhadap kaum majoriti yang juga pemegang kuasa politik.

Oleh itu, sebelum melaungkan meritokrasi dan keadilan, ingatlah bahawa dunia ini sendiri tidak adil. Kita boleh meramalkan pendapatan hidup seseorang berdasarkan status rawak yang ditentukan oleh "nature" seperti taraf ekonomi keluarga, tempat lahir, bangsa dan jantina. Oleh itu kita perlu menggubal polisi yang mengurangkan ketidakadilan ini agar perkara lain seperti usaha, keberanian dan kebijaksanaan yang menentukan taraf ekonomi seseorang.





Saturday, 28 February 2015

Mengapa Defisit Kerajaan Baik Untuk Malaysia

Secara amnya kita percaya bahawa adalah lebih baik untuk menyimpan daripada mempunyai hutang. Menggunakan logik yang sama, kita boleh membuat kesimpulan bahawa adalah lebih baik untuk kerajaan Malaysia mempunyai lebihan bajet daripada defisit. Namun begitu, kerajaan sebagai satu organisasi tidak boleh disamakan dengan syarikat ataupun individu. Ini kerana tujuan utama kerajaan ditubuhkan adalah untuk memaksimakan kebajikan rakyat. Kadang-kala, untuk kebajikan rakyat, kerajaan perlu berhutang. Di artikel ini saya akan cuba menerangkan kenapa dalam situasi Malaysia sekarang, defisit bajet kerajaan adalah lebih baik daripada lebihan bajet.




Dalam dekad sebelum Krisis Kewangan Asia (AFC) pada tahun 1997, purata pelaburan pihak swasta di Malaysia adalah 22.9% daripada GDP. Daripada tahun 2001 hingga 2011 purata pelaburan swasta hanyalah 11.8% daripada GDP. Ini bermakna syarikat-syarikat di Malaysia melabur dengan terlalu sedikit. Ini menyebabkan pengumpulan modal kapital yang lebih perlahan seperti yang ditunjukkan diatas. Pengumpulan modal kapital yang lebih perlahan ini adalah diantara sebab mengapa Malaysia membangun dengan lebih perlahan selepas AFC.

Apabila pelaburan syarikat-syarikat di Malaysia adalah lebih rendah daripada kadar penyimpanan mereka, maka mereka menjadi penyimpan bersih. Simpanan ini menyebabkan terdapat lebihan kredit di dalam ekonomi yang perlu dipinjam sama ada oleh kerajaan ataupun isirumah (household). Adalah bukan kebetulan bahawa walaupun Malaysia adalah pemberi pinjaman bersih (net lender) kepada dunia sejak AFC, hutang kerajaan dan hutang isirumah di Malaysia melonjak naik.

Jika diberi pilihan, adalah lebih baik jika kerajaan, bukan rakyat yang meminjam duit ini. Ini kerana, secara amnya kadar faedah yang dibayar oleh kerajaan adalah lebih rendah daripada yang di bayar isirumah. Dengan menyerap lebih banyak kredit yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat, kerajaan boleh mengurangkan beban hutang isi rumah di Malaysia.

Sebagai contoh, kerajaan boleh meminjam duit dan menggunakannya untuk membina rumah mampu milik yang dijual kepada rakyat pada harga kos (berserta kos kewangan). Impak ini boleh dimaksimumkan jika rumah mampu milik ini dibina berdekatan dengan projek MRT yang sedang dibina sekarang. Kerana perbelanjaan utama isirumah adalah tempat tinggal dan pengangkutan, maka ini akan mengurangkan masalah kos hidup tinggi dan hutang isi rumah tinggi dengan serentak.

Idea asasnya ialah, jika kerajaan berhutang dan membelanjakannya kepada perkara yang memanfaatkan rakyat, ini sama seperti kerajaan membuat pinjaman bagi pihak rakyat dengan kadar faedah yang rendah. Penerima manfaat terbesar ialah orang miskin kerana orang miskin selalunya tidak mempunyai akses kepada kredit.

Namun begitu, terdapat had untuk hutang yang mampu ditanggung kerajaan. Apabila hutang kerajaan mencapai satu tahap kritikal, maka pertumbuhan ekonomi akan terjejas. Kajian emperikal mencadangkan bahawa tahap kritikal ini adalah hutang kepada GDP sebanyak 90% untuk negara maju dan 60% untuk negara membangun. Bagi Malaysia, asalkan defisit adalah lebih rendah daripada pertumbuhan ekonomi, maka hutang kerajaan tidak akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara.

Pada tahun 2012 pelaburan swasta telah melonjak kepada 15.5% dan dijangka akan terus meningkat di masa hadapan. Apabila pelaburan swasta mencapai tahap yang cukup tinggi kelak, kerajaan perlu mengurangkan defisit. Jika tidak, syarikat yang ingin melabur tidak akan mendapat kredit kerana ia telah diambil oleh kerajaan (crowding out). Selain itu, akaun semasa Malaysia juga mungkin akan menjadi negatif dan menyebabkan deficit kembar (twin deficits).

Apa yang akan terjadi jika kerajaan Malaysia memutuskan untuk mempunyai lebihan bajet pada masa ini? Kerana syarikat dan kerajaan sekarang adalah peminjam bersih, maka kredit ini akan dipinjam oleh rakyat dan kadar hutang isirumah akan meningkat. Kerana kadar isirumah sekarang sudah tinggi, maka ia tidak akan dapat menyerap semua lebihan kredit ini dan ia akan keluar dari Malaysia. Ekonomi Malaysia tidak akan beroperasi pada kapasiti penuh dan pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih perlahan.

Kesimpulannya, bertentangan dengan pendapat popular, lebihan bajet kerajaan adalah lebih buruk daripada defisit (yang terkawal) untuk Malaysia buat masa ini.

Thursday, 26 February 2015

Kenapa Ringgit Lebih Lemah Daripada Dolar Singapura?

Pada suatu ketika dahulu nilai Ringgit Malaysia adalah lebih tinggi daripada nilai Dolar Singapura. Namun begitu, sedikit demi sedikit Dolar Singapura naik nilainya dan pada hari ini adalah jauh lebih tinggi daripada nilai ringgit. Mengapa ini berlaku?



Untuk memahami kenapa ini berlaku kita berbalik kepada "Impossible Trinity" diatas (penjelasan mengenainya ada disini). Untuk negara seperti Singapura dan Malaysia, aliran bebas kapital adalah sangat penting untuk pembangunan maka bank pusat kedua-dua negara hanya boleh memilih sama ada mahu mengawal kadar tukaran wang asing atau kadar faedah. Bank Negara Malaysia memilih untuk mengawal inflasi melalui kadar faedah, maka ia membiarkan pasaran menentukan harga ringgit. Bank pusat Singapura, iaitu Monetary Authority of Singapore (MAS) pula memilih untuk mengawal inflasi menggunakan kadar tukaran Dolar Singapura, sekaligus membiarkan kadar faedah mereka ditentukan oleh kadar faedah negara lain, terutama sekali Amerika Syarikat.

Untuk mengawal kadar inflasi dan merangsang pembangunan ekonomi, sejak tahun 1981 MAS telah membuat keputusan untuk memastikan bahawa Dolar Singapura meningkat nilainya sedikit demi sedikit berbanding matawang lain di dunia, terutama sekali rakan dagangan utama mereka. Pada hari ini Malaysia adalah rakan dagangan terbesar bagi Singapura. Oleh itu polisi MAS adalah untuk memastikan nilai Dolar Singapura menjadi lebih besar daripada ringgit, sedikit demi sedikit.

Ini boleh dilakukan oleh Singapura kerana negara mereka tidak mempunyai sumber kekayaan semula jadi. Industri pembuatan mereka perlu mengimport bahan mentah daripada negara lain sebelum ianya diproses dan dijual semula. Oleh itu walaupun Dolar Singapura yang lebih kukuh mengurangkan pendapatan mereka, ini diimbangi oleh kos bahan mentah yang lebih rendah. Selain itu, sebagai negara maju, sebahagian besar ekonomi mereka adalah di dalam sektor servis yang hanya menggunakan modal insan sebagai input.

Kesimpulannya, mengapakah nilai dolar Singapura lebih tinggi daripada Ringgit Malaysia? Kerana itu yang MAS sengaja lakukan. Menggunakan logik yang sama, mengapa Bank Negara tidak membuat keputusan untuk menaikkan nilai Ringgit? Ini membolehkan rakyat Malaysia mengimport barang dengan lebih murah dan mampu bercuti di negara Eropah.

Ini tidak dilakukan Bank Negara kerana mengubah nilai nominal Ringgit tidak mengubah nilai sebenar yang dijana oleh ekonomi Malaysia. Sebagai contoh, jika Bank Negara menaikkan nilai ringgit sebanyak 2 kali ganda, ekonomi akan membetulkan dirinya sendiri melalui paras harga. Harga barang dan gaji juga akan turun 2 kali ganda. Jadi kebajikan rakyat akan sama seperti sebelum nilai ringgit dinaikkan. Ya, barangan import akan menjadi lebih murah tetapi pendapatan akan menjadi lebih rendah juga, selari dengan penurunan harga.



Tetapi kenapa (pada nilai sekarang) 3.62 kali berbanding dolar Amerika? Kenapa sebegitu rendah? Berdasarkan "Big Mac Index" diatas ringgit sepatutnya berada pada paras 1.59 kali dolar Amerika. Apa yang menentukan nilai nominal Ringgit? Faktor utama yang menentukan nilai nominal Ringgit Malaysia adalah nilai matawang negara lain. Ini kerana semua negara perlu bersaing untuk mengeksport barang mereka. Negara besar seperti China dan India meletakkan nilai rendah untuk matawang mereka dan negara-negara lain seperti Malaysia tiada pilihan selain mengikuti nilai tersebut. Jika Ringgit terlalu tinggi, barangan Malaysia akan kurang kompetitif dan ekonomi Malaysia akan mengecil. Hasilnya, seperti yang ditunjukkan oleh panel kanan pada "Big Mac Index" diatas, kadar tukaran wang kebanyakan negara adalah terlalu rendah berbanding Dolar Amerika.

Adalah bukan kebetulan Bank Negara membuat keputusan untuk kembali mengapungkan harga Ringgit pada masa yang sama China membuat keputusan untuk mengapungkan Yuan. Ini juga sebabnya kita selalu membaca di suratkhabar mengenai ketegangan hubungan diantara Amerika Syarikat dan China. Amerika Syarikat berpendapat bahawa China sedang menipu dengan meletakkan nilai yang terlalu rendah untuk Renminbi. Perang matawang sedang berlaku dan Malaysia tidak mempunyai pilihan selain meletakkan nilai Ringgit sejajar dengan nilai matawang asing yang lain.

Kesimpulannya, nilai matawang Singapura lebih tinggi daripada Malaysia kerana MAS sengaja menggunakan polisi sedemikian untuk membolehkan mereka mengimport dengan lebih murah. Ini membolehkan paras harga dalam Singapura kekal rendah. Nilai ringgit pula perlu sejajar dengan nilai matawang negara lain agar kita mampu bersaing di pasaran dunia.

Tuesday, 24 February 2015

Soal Jawab Lazim Mengenai GST

Di sini saya akan cuba menjawab soalan lazim yang kerap ditanya mengenai GST yang bakal dilaksanakan di Malaysia kelak.

Adakah GST Baik atau Buruk?




Cukai penggunaan seperti GST mempunyai beberapa keburukan, seperti yang ditunjukkan gambarajah di atas. Keburukan pertama ialah kuantiti barang yang diminta oleh pengguna akan berkurangan. Penggunaan (consumption) yang kurang ini mengurangkan kebajikan pengguna, mengurangkan pendapatan peniaga dan menyebabkan ekonomi mengecut.

Selain itu, ekonomi yang mempunyai cukai juga kurang efisien berbanding jika tiada cukai yang dikenakan. Kawasan segitiga berwarna hitam yang ditunjukkan di atas ialah nilai yang hilang daripada ekonomi akibat ketidakcekapan kerana cukai. Oleh itu, aktiviti memungut cukai itu sendiri akan membawa kesan buruk terhadap ekonomi.

Namun begitu, jika digunakan dengan betul, kebaikan yang didapati boleh mengatasi keburukan daripada cukai. Sebagai contoh, pendidikan adalah mahal dan hanya orang berada yang mampu menyekolahkan anak mereka. Oleh itu, orang kaya akan sentiasa kaya manakala orang miskin akan kekal miskin kerana tidak diberi pendidikan. Jika kerajaan mengenakan cukai dan menggunakan cukai itu untuk memberi pendidikan mampu milik kepada semua rakyat maka kesan cukai boleh menjadi positif.

Berbalik kepada GST yang akan dikenakan di Malaysia, sama ada ianya baik atau buruk bergantung kepada bagaimana kerajaan membelanjakan cukai yang dipungut itu. Kesan buruk daripada GST sudah pasti. Kesan baiknya pula, kita hanya akan tahu di masa hadapan.

Siapa Yang Akan Membayar GST?


Ada yang mengatakan bahawa GST perlu dikenakan kepada peniaga dan bukan pembeli. Hakikatnya beban GST akan dikongsi bersama oleh peniaga dan pembeli, tidak kiralah siapa yang secara fizikalnya membayar kepada kerajaan, seperti yang ditunjukkan di bawah.





























Kawasan segitiga berwarna hijau adalah cukai yang perlu ditanggung oleh pengguna dan kawasan berwarna oren pula adalah cukai yang perlu ditanggung oleh peniaga. Di dalam situasi di atas peniaga menanggung lebih banyak kos GST daripada pengguna. Namun begitu, dalam situasi tertentu mungkin pengguna yang akan menanggung beban GST yang lebih, seperti yang ditunjukkan di bawah.

































Oleh itu, tidak kiralah siapa yang membayarnya, pengguna dan peniaga akan sama-sama membayar kos cukai GST. Siapa yang membayar lebih bergantung kepada kuasa pasaran peniaga tersebut. Peniaga yang mempunyai kuasa monopoli boleh memindahkan kos GST kepada pengguna dengan sepenuhnya manakala peniaga yang mempunyai banyak persaingan terpaksa menyerap kebanyakan daripada kenaikan kos akibat GST.

Adakah GST Progresif atau Regresif?


Cukai progresif ialah cukai yang meningkat dengan tahap pendapatan. Maka cukai yang dibayar adalah lebih untuk orang yang lebih berkemampuan. Cukai regresif pula ialah cukai yang lebih banyak dikenakan jika anda miskin berbanding jika anda kaya.

Salah satu kritikan terbesar GST adalah ianya boleh menjadi cukai regresif. Sebagai contoh apabila seorang yang berpendapatan RM2000 berbelanja RM1000 sebulan dengan GST 6% maka ia membayar cukai sebanyak 3%. Namun begitu seseorang yang berpendapatan RM10000 berbelanja RM1000 sebulan cukainya adalah 0.6%. Ini menunjukkan bahawa untuk nilai perbelanjaan yang sama, GST adalah regresif dan ini akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.

Namun begitu apabila dilaksanakan tidak semestinya itu yang akan berlaku. Langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan boleh menjadikan implementasi GST di Malaysia regresif atau progresif.

Bersama dengan GST Najib juga telah mengatakan bahawa cukai pendapatan akan dikurangkan sehingga 3% dan tahap pendapatan yang dikenakan cukai maksimum juga dinaikkan ke RM400,000. Penurunan cukai ini hanya akan dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi. Dengan mengenakan cukai baru kepada golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan cukai kepada yang berpendapatan tinggi, beban cukai telah dialihkan daripada yang kaya kepada yang miskin. Ini akan menjadikan sistem cukai di Malaysia lebih regresif.

Namun begitu, kerajaan juga telah mengambil langkah untuk menjadikan GST lebih progresif. Antara langkah tersebut ialah mengecualikan barang keperluan asas daripada dikenakan GST. Ini diharapkan dapat mengurangkan bayaran cukai GST yang dikutip daripada orang miskin. Selain itu kerajaan juga akan menambah pendapatan golongan berpendapatan rendah dan meringankan beban GST melalui pindahan pendapatan seperti BR1M.

Di beberapa negara langkah-langkah ini telah berjaya menjadikan GST sebagai cukai yang progresif. Oleh itu adalah penting untuk kerajaan melakukan kajian emperikal dan mengubah polisi apabila perlu untuk memastikan GST tidak terlalu membebankan orang miskin.

Adakah Inflasi Akan Meningkat Kerana GST?


Berdasarkan apa yang berlaku di negara lain apabila mereka mula mengenakan cukai GST, kadar inflasi akan meningkat. Namun peningkatan ini adalah sementara dan akan turun kembali tahun hadapan. Bank Negara menjangka bahawa inflasi pada tahun 2015 akan berada pada kadar 4% dan akan turun kembali ke kadar normal 3% pada tahun 2016. Oleh itu, GST dijangka akan meningkatkan paras harga di Malaysia apabila ianya dilaksanakan.

Soalan seterusnya adalah berapa besarkah kenaikan paras harga yang akan berlaku? Ini bergantung kepada pelbagai faktor. Seperti yang saya terangkan diatas mengenai siapa yang membayar GST, kadar kenaikan harga tidak akan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna. Oleh itu kadar kenaikan harga barang tertentu akan lebih rendah daripada 6% GST yang dikenakan oleh kerajaan. Oleh itu kadar kenaikan paras harga bergantung kepada kuasa pasaran yang dipunyai peniaga.

Selain itu GST yang dilaksanakan akan menggantikan SST yang sedia ada. Ini bermakna untuk barangan tertentu, kadar cukai akan menurun. Ini akan mengurangkan tekanan kepada kadar inflasi. Harga minyak mentah yang rendah bermakna sekarang adalah masa yang terbaik untuk mengenakan GST. Data bulan Januari menunjukkan bahawa kadar inflasi negara adalah lebih rendah daripada yang dijangkakan. Oleh itu kadar kenaikan inflasi kerana GST dijangka kecil.

Kesimpulannya, GST akan menaikkan paras harga barangan secara kekal. Namun ini hanya akan berlaku sekali dan magnitudnya dijangka kecil.

Mengapa Kerajaan Mengenakan GST?


Meningkatkan pendapatan kerajaan. Seperti yang kita tahu Najib mahu mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan kepada 0% menjelang tahun 2020. GST dijangka akan meningkatkan kutipan cukai kerajaan sebanyak RM 5.6 Billion pada tahun 2015.

Mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan. Harga minyak yang rendah akhir-akhir ini juga mendedahkan bahawa kerajaan Malaysia terlalu bergantung kepada pendapatan Petronas. Mempelbagaikan sumber kewangan kerajaan adalah penting untuk memastikan kesinambungan bajet negara.

Membesarkan sumber cukai yang sempit. Buat masa ini hanya 1 juta rakyat dan 75 ribu syarikat membayar cukai pendapatan. Ini agak merisaukan kerana pada tahun 2013, 55% (120 billion) daripada pendapatan kerajaan datang daripada cukai pendapatan. Ini bermakna hanya sebahagian kecil daripada rakyat Malaysia sedang membayar kos perubatan dan kos pendidikan murah yang semua rakyat sedang nikmati sekarang.

Meningkatkan daya saing negara. Cukai pendapatan syarikat Malaysia pada masa ini adalah 25%. Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding Thailand (20%) dan Singapura (17%). GST membolehkan Malaysia menurunkan kadar cukai pendapatan dan seterusnya menarik lebih ramai pelabur.

Menutup kelemahan sistem cukai negara. Terdapat syarikat atau individu yang menyorokkan pendapatan mereka untuk lari daripada cukai. Orang yang lebih kaya akan lebih banyak berbelanja dari orang miskin maka kerajaan berharap GST akan menyebabkan sistem cukai negara menjadi lebih saksama.

Friday, 13 February 2015

Mengapa Harga Barang Tidak Turun?

Topik yang agak hangat baru-baru ini adalah keluhan yang harga barang tidak turun walaupun harga minyak telah turun. Peniaga menyalahkan pembekal, pembekal menyalahkan kos pengangkutan dan syarikat pengangkutan menyalahkan kos penyelenggaraan yang tinggi. Tiada siapa yang ingin bertanggungjawab. Antara sebab utama kenapa harga tidak turun ialah kerana struktur pasaran. Di artikel ini saya akan menerangkan apa itu struktur pasaran dan bagaimana ia mempengaruhi harga dengan menggunakan pasaran ayam sebagai contoh.

Dua contoh struktur pasaran ialah monopoli dan persaingan sempurna (perfect competition). Ciri-ciri monopoli ialah hanya terdapat satu pembekal dan harga jualan adalah jauh lebih tinggi dari harga kos. Ciri-ciri persaingan sempurna ialah terdapat banyak pembekal dan harga jualan adalah sama dengan harga kos.



Monopoli dan persaingan sempurna adalah dua hujung dalam satu spektrum yang sama, seperti yang ditunjukkan diatas. Dalam dunia sebenar kebanyakan struktur pasaran adalah diantara monopoli dan persaingan sempurna. Pasaran yang dekat dengan monopoli tidak bagus untuk pengguna kerana harga yang dibayar pengguna tinggi dan pasaran yang lebih kompetitif adalah lebih baik untuk pengguna kerana harga dibayar adalah lebih rendah.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah membuat kajian mengenai pasaran ayam daging di Malaysia. Laporan kajian tersebut boleh didapati disini. Sama ada pasaran ayam daging di Malaysia kompetitif atau tidak bergantung kepada bilangan petani dan pengedar ayam. Ini yang MyCC nyatakan:

"In its consultation with MARDI, MyCC was informed that using the estimated population of day all chicks (“DOC”) in 2010 as proxy for broiler output, (i) 62.5 per cent, of the market was held by 10 integrators, (ii) 21.4 per cent was held by all non–integrators, and (iii) all other independent farmers held 16.0 per cent.

MyCC also looked into concentration in downstream segments of the broiler supply chain using an approach that is consistent with the approach in defining a relevant market. Based on available data on a broadly defined group of broiler products (as defined by the Department of Statistics in the Annual Manufacturing Establishment Survey 2004), a CR-4 ratio for the downstream poultry processing segment (at the MSIC 4-digit level) is calculated as 88.5 per cent, and the Herfindahl-Hirschman Index (HHI) for the same segment is calculated as 3,450. Although both these calculated indices are considerably higher than the “safe harbour” of 75 per cent (in the case of CR-4) and 1800 (in the case of HHI), both of them are only indicative, and not determinative, of possible dominance by any poultry processing firm or group of firms."

Secara ringkasnya MyCC menyatakan bahawa ada kemungkinan bahawa pasaran ayam terlalu tertumpu dan tidak kompetitif. Oleh kerana pasaran terlalu tertumpu maka pengeluar mempunyai kuasa pasaran yang terlalu besar. Kesannya adalah tidak baik untuk pengguna, seperti yang dijumpai oleh MyCC:

"MyCC has statistically confirmed, on the basis of econometric analysis, that changes in ex farm chicken (i.e. upstream) prices between January 2007 and March 2012 are transmitted asymmetrically and positively to standard broiler (i.e. downstream) prices. For every 10 per cent increase in the ex farm price of live chickens, the retail price of broilers can be expected to increase by 7.5 per cent (all other things being equal).

A similar study , based on January 2000 to December 2007 data, found that changes in retail prices of poultry respond more strongly to farm price increases rather than to farm price decreases. Specifically, the speed of retail price adjustment due to an increase in ex farm price is (statistically) much faster than when there is a decrease in the ex farm price.

On the basis of its statistical findings, MyCC has formed of the view that the close to immediate pace and extent by which ex farm price increases are passed-on to wholesale and/or retail prices may be related to or caused by market power and/or the exercise of oligopolistic behaviour in the intermediate (wholesale) stages of supply chain."

Petikan diatas menyatakan bahawa apabila kos naik sebanyak 10% (kerana harga minyak naik contohnya) harga ayam akan naik sebanyak 7.5% serta merta. Namun begitu apabila kos turun, harga ayam turun hanya sedikit dan turun dengan lambat. Ini berlaku kerana pasaran pengeluar daging ayam dikawal oleh beberapa pengusaha besar.

Walaupun kajian di atas adalah spesifik kepada pasaran ayam, tetapi struktur pasaran kurang kompetitif yang sama juga wujud di pasaran lain. Pasaran-pasaran kurang kompetitif ini yang menyebabkan paras harga tidak turun walaupun harga kos telah turun.

Penyelesaian


Beri kuasa kepada MyCC

Institusi persaingan di Eropah dan Amerika Syarikat mempunyai kuasa untuk menyekat gabungan syarikat yang boleh mengurangkan persaingan. Mereka juga boleh memecahkan syarikat yang terlalu besar atau mempunyai kuasa monopoli. Dengan memberi kuasa sama MyCC boleh menyekat "vertical integration" yang boleh mengurangkan persaingan.

Liberalisasi Perdagangan (Trade Liberalization)

"Most imports are of broiler parts that are processed into value added product, e.g. chicken sausages, burgers and nuggets. Such imports are subject to trade policy and quota regulations. This has an implication that the quantity of imported products will only have, if any, a small market effect on the domestic prices of live broilers, especially during festive seasons."

Petikan diatas menyatakan bahawa sekatan import seperti "Approved Permits" (AP) dan kuota import menghalang kemungkinan harga turun dengan persaingan daripada luar. Sebagai contoh, semasa musim perayaan permintaan ayam meningkat. Tetapi pengeluaran ayam tempatan adalah tetap maka mengikut teori "supply and demand" harga ayam tentulah akan naik ketika waktu perayaan.

"MyCC understands that imposing a “permitted maximum” retail price regime for no more than 2 weeks before and after a festival is aimed at preventing consumers from being charged exorbitantly by retailers. But it may also inadvertently weaken retailers’ competition with one another, as well as create market distortions and a lack of transparency in the commercial relationships between wholesalers and retailers. 
Instead of actually competing with one another, all retailers in a “wet” market may decide to sell their broilers at a price close to or at the level of the “permitted maximum” price. Although this could be seen as retailers’ compliance with the “permitted maximum” price, it could also be a tacit form of collusion between and among wholesalers and retailers. Thus, even when consumers have been protected from paying no more than the “permitted maximum” price, any collusive behaviour on the part of retailers will effectively deny consumers of the potential and additional benefits of lower prices that will result from actual market competition."

Usaha kerajaan untuk mengurangkan harga ayam dengan meletakkan harga maksimum memburukkan lagi keadaan kerana harga maksimum menjadi harga rujukan untuk pengusaha berpakat. Selain itu harga maksimum ini selalunya melebihi kos pengusaha besar tetapi lebih rendah daripada kos pengusaha kecil. Lama kelamaan pengusaha kecil akan muflis, mengurangkan lagi persaingan kepada pengeluar-pengeluar utama.

Tanpa sekatan import, pasaran boleh menjangka kenaikan permintaan di masa perayaan dan meningkatkan bekalan ayam melalui import. Ketika harga minyak turun seperti sekarang persaingan daripada pembekal ayam luar negara juga akan memaksa pengusaha tempatan menurunkan harga.

Namun begitu persaingan luar mungkin akan menyebabkan petani kecil tempatan muflis. Jadi persoalannya ialah adakah berbaloi menolong pengusaha ayam daging tempatan jika semua rakyat perlu membayar harga yang lebih tinggi. Atau dari perspektif lain, dengan AP dan kuota import, rakyat Malaysia sebenarnya sedang memberi subsidi kepada petani ayam tempatan. Perkara sama juga terjadi dengan apa-apa sekatan import dalam mana-mana industri. AP kereta bermakna pembeli kereta tempatan sedang memberi subsidi kepada pengeluar kereta tempatan.

Boikot (tidak mengira kaum)

Adalah sukar untuk memboikot komoditi seperti ayam kerana kurang pengganti lain. Namun begitu adalah lebih mudah untuk memboikot syarikat atau restoran tertentu. Jika Malaysia mempunyai budaya memboikot, kuasa pasaran syarikat-syarikat di Malaysia akan menjadi lebih lemah dan ini akan memberi inisiatif untuk mereka menurunkan harga.




























Gambarajah diatas menunjukkan apa yang akan terjadi apabila pengguna tidak menggunakan kuasa pembeli dengan sepenuhnya dan terus membeli barang daripada syarikat yang mengenakan harga yang tinggi. Dengan harga asal syarikat mendapat keuntungan sebanyak kawasan oren dan hijau. Apabila ia menaikkan harga, keuntungannya menjadi kawasan oren dan biru. Perbezaan keuntungan di antara harga asal dan menaikkan harga adalah diantara kawasan biru dan hijau. Kerana kawasan hijau adalah lebih kecil dari kawasan biru, maka syarikat ini akan memilih untuk menaikkan harga kerana dengan berbuat demikian syarikat mendapat untung yang lebih.



























Bagaimana pula jika pengguna lebih fleksibel dimana jika syarikat ini meletakkan harga terlalu mahal maka pengguna akan menggunakan haknya untuk membeli daripada syarikat lain? Seperti yang ditunjukkan diatas, dalam situasi ini apabila syarikat menaikkan harga keuntungan lebihnya adalah kawasan berwarna biru, yang jauh lebih sedikit daripada keuntungan yang akan hilang iaitu kawasan berwarna hijau. Maka syarikat ini bukan sahaja tidak akan menaikkan harga, malah ia akan menurunkan harga kerana dengan berbuat demikian syarikat akan mendapat keuntungan yang lebih.

Wednesday, 11 February 2015

Adakah Malaysia Menuju ke Arah Krisis Matawang dan Kegawatan Ekonomi Seperti 1997?

Nilai Ringgit yang susut mendadak akhir-akhir ini membuatkan ramai yang khuatir bahawa Malaysia sedang menuju ke arah krisis matawang seperti yang berlaku pada tahun 1997. Namun begitu, hakikatnya kerana Ringgit jatuhlah maka perkara sama tidak akan berlaku lagi. Di artikel ini saya akan cuba menerangkan kenapa.

Untuk memahami kenapa Ringgit susut, kita perlu mengetahui apakah "Impossible Trinity". Teori ekonomi menyatakan bahawa adalah mustahil untuk sesuatu negara mengawal kadar faedah, menentukan nilai matawang dan mempunyai aliran bebas kapital pada masa yang sama. Malaysia hanya boleh memilih dua daripada tiga perkara di bawah.


Pada tahun 1997, kerana apa yang berlaku di Thailand, pelabur-pelabur panik dan mula keluar daripada pasaran negara-negara Asia, termasuk Malaysia. Dalam proses menjual aset Malaysia, mereka juga menjual matawang Ringgit. Ini menyebabkan lambakan Ringgit yang banyak di pasaran dunia. Ini meletakkan tekanan untuk Ringgit jatuh. Namun begitu Bank Negara cuba mengawal kejatuhan Ringgit dengan membeli Ringgit menggunakan simpanan matawang asing. Namun begitu, cubaan Bank Negara gagal kerana lama kelamaan ia kehabisan simpanan matawang asing. Ringgit tetap jatuh, kadar faedah meningkat dan Malaysia mengalami kegawatan ekonomi. Proses ini saya terangkan dengan lebih terperinci di sini.

Bank Negara pada tahun 1997 cuba mengawal ketiga-tiga pembolehubah diatas serentak, sebab itu ia gagal. Dengan cuba mengawal harga Ringgit dengan membeli Ringgit menggunakan simpanan matawang asing, ia telah kehilangan keupayaan untuk mengawal kadar faedah. Kadar faedah yang meningkat dengan mendadaklah yang menyebabkan kegawatan ekonomi di Malaysia.



Pada tahun 1998 Malaysia melaksanakan kawalan kapital (capital controls) dan menambat Ringgit pada 3.8 Dolar Amerika Syarikat. Kadar faedah juga mula turun dan ekonomi mula pulih. Negara lain, dibawah penyeliaan IMF membiarkan kadar matawang mereka ditentukan sepenuhnya oleh pasaran. Matawang mereka juga menjadi stabil secara beransur-ansur, namun pada tahap yang lebih rendah daripada nilai sebelumnya, seperti matawang Won Korea Selatan di bawah.



















Kedua-dua polisi berbeza di atas berjaya kerana ianya tidak melanggar "Impossible Trinity". Polisi mana lebih baik adalah soalan yang hanya boleh dijawab dengan kajian empirikal. Ada yang berpendapat bahawa Malaysia tidak perlu melaksanakan kawalan kapital dan ekonomi akan pulih juga kerana negara lain seperti Korea dan Thailand pulih pada masa yang sama dengan Malaysia.

Ada yang berpendapat bahawa tidak seperti Korea dan Thailand yang semakin pulih pada pertengahan 1998, ekonomi Malaysia sedang menuju keadaan lebih teruk, walaupun telah melaksanakan dasar yang disarankan IMF iaitu membiarkan Ringgit terapung sepenuhnya, menaikkan kadar faedah dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Oleh sebab itu sesetengah ahli ekonomi berpendapat bahawa kawalan kapital membolehkan Malaysia pulih dengan lebih pantas daripada polisi alternatif kerana ia membolehkan Bank Negara menurunkan kadar faedah dan kerajaan berbelanja dengan lebih banyak untuk menolong memulihkan ekonomi Malaysia.

Berbalik kepada soalan asal mengenai kejatuhan nilai Ringgit baru-baru ini, apabila harga minyak jatuh dan tekanan untuk Ringgit jatuh, Bank Negara boleh menggunakan simpanan matawang asing untuk mengekalkan harga Ringgit. Tapi kita tahu ini bukan penyelesaian jangka panjang kerana lambat laun Bank Negara akan kehabisan matawang asing. Oleh itu hanya dua alternatif yang ada, iaitu 1) Biar Ringgit jatuh seperti yang dimahukan oleh pasaran. 2) Tambat Ringgit dan laksanakan kawalan kapital.

Malaysia berkembang dengan bergantung pada pelaburan daripada luar maka kawalan kapital akan menyekat pelaburan ini dan akan menyebabkan perkembangan ekonomi Malaysia terbantut. Oleh itu pilihan no 2 adalah tidak digemari. Zeti juga telah mengatakan bahawa Malaysia tidak akan mengulangi kawalan kapital.

Oleh itu Bank Negara memilih pilihan no 1 iaitu membiarkan Ringgit jatuh. Kejatuhan Ringgit akhir-akhir ini bukanlah permulaan kepada krisis matawang seperti tahun 1997, tetapi hanyalah "equilibrium" nilai Ringgit telah berubah kerana kombinasi kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan penurunan harga minyak mentah. Melawan perubahan "equilibrium" baru ini dengan menggunakan simpanan matawang asing dan menaikkan kadar faedah hanya akan memburukkan situasi ekonomi negara.

Tuesday, 10 February 2015

Mengapa Nilai Ringgit Jatuh?

Seperti yang kita tahu akhir-akhir ini nilai Ringgit telah susut dengan banyak dan ramai yang berpendapat bahawa ini adalah kerana kelemahan ekonomi Malaysia dan memarahi kerajaan kerana tidak melakukan sesuatu untuk membendung kejatuhan nilai Ringgit. Di artikel ini saya akan cuba menerangkan kenapa nilai ringgit susut.

Penentuan harga Ringgit pada zaman moden ini adalah berdasarkan permintaan (demand) dan bekalan (supply). Dimana demand dan supply bersilang, disitulah "equilibrium" yang menentukan harga Ringgit, seperti gambarajah dibawah.



Malaysia adalah negara kecil, maka apa-apa perubahan kepada ekonomi dunia akan mempunyai kesan kepada kita. Sebagai contoh, apabila kadar faedah Amerika Syarikat (US) meningkat, maka pelabur akan menjual aset Malaysia dan membeli aset Amerika Syarikat.  Dalam proses menjual asset Malaysia dan membeli asset US,pelabur-pelabur ini juga akan menjual Ringgit dan membeli Dolar.

Begitu juga apabila harga minyak jatuh. Sebagai pengeluar minyak, maka risiko pelaburan di Malaysia meningkat maka pelabur mengurangkan pelaburan di negara-negara pengeluar minyak seperti dan melabur di negara-negara pengimport minyak.

Apabila pelabur-pelabur ini menjual Ringgit, ini akan meningkatkan bekalan (supply) Ringgit maka harga Ringgit akan jatuh seperti yang ditunjukkan dibawah.




Untuk mengekalkan harga Ringgit, Bank Negara boleh meningkatkan permintaan (demand) Ringgit dengan membeli Ringgit. Ini akan menyebabkan harga Ringgit kekal, seperti yang ditunjukkan di bawah.



Namun begitu, untuk mengekalkan harga Ringgit ada harga yang perlu dibayar. Untuk mengekalkan harga Ringgit, Bank Negara perlu membeli Ringgit dengan menggunakan matawang asing yang disimpan oleh Bank Negara (Foreign Reserves). Lama kelamaan, simpanan matawang asing Bank Negara akan habis dan Bank Negara akan gagal menghalang Ringgit daripada jatuh.

Membeli Ringgit juga akan mengurangkan kuantiti Ringgit dalam peredaran. Pengurangan Ringgit dalam peredaran akan meningkatkan kadar faedah. Ini kerana kadar faedah juga ditentukan oleh "demand" and "supply". Lebih sedikit Ringgit dalam peredaran, maka lebih sedikit kredit yang ada untuk dipinjam, maka kadar faedah akan meningkat, seperti ditunjukkan dibawah.



Ini yang terjadi pada krisis ekonomi 1997. Pelabur panik kerana kegawatan di Thailand maka mereka mengeluarkan pelaburan mereka daripada Malaysia. Bank Negara cuba melawan kejatuhan nilai Ringgit dengan menggunakan simpanan matawang asing untuk membeli Ringgit dan meningkatkan kadar faedah. Apabila kadar faedah meningkat, bayaran ansuran bulanan kepada Bank juga meningkat. (Contoh: apabila BLR naik, bayaran bulanan ansuran rumah juga naik). Ramai yang gagal membayar bank. Syarikat juga kehabisan wang untuk operasi maka menjadi muflis. Bank kehabisan modal dan jatuh bankrap. Kegawatan ekonomi menyusul.

Berbalik kepada situasi sekarang, apabila Bank Negara membiarkan Ringgit jatuh, ia menyerap sebahagian impak negatif daripada kejatuhan harga minyak. Sebagai contoh dengan Ringgit yang lebih lemah membolehkan pelabur asing membeli lebih banyak aset di Malaysia dengan nilai USD yang sama. Ini bermakna keuntungan daripada pelaburan jangka panjang di Malaysia (melabur dengan membuka kilang pembuatan contohnya) akan meningkat. Ini akan menarik pelabur ke Malaysia dan mengurangkan penerbangan modal (capital flight) yang berlaku.

Selain daripada kejatuhan nilai Ringgit pariti risiko dan pulangan kerana penurunan harga minyak juga boleh dikembalikan dengan 1) Meningkatkan kadar faedah 2) Menurunkan harga aset. Kedua-dua alternatif ini akan menyebabkan impak negatif yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia.

Oleh itu, Bank Negara membiarkan harga Ringgit jatuh kerana ini membolehkan ekonomi dalam Malaysia berjalan seperti biasa. Harga sesetengah barang yang diimport mungkin naik, tetapi sebagai negara pengeksport, pendapatan kita juga meningkat. Secara keseluruhan kesan negatif kejatuhan ringgit adalah kecil, malah mungkin positif.