1. Pemindahan Pendapatan (Subsidi dan BR1M)
2. Kawalan Harga
3. Gaji Minimum
4. Liberalisasi Pasaran
5. Bekalan oleh Kerajaan
Saya akan menulis beberapa artikel menerangkan baik dan buruk langkah-langkah diatas. Di artikel ini saya akan menerangkan mengenai subsidi dan BR1M.
Kebaikan utama subsidi ialah ianya efektif sebagai alat untuk menurunkan harga, seperti yang ditunjukkan pada gambarajah diatas. Dengan subsidi, harga baru adalah lebih rendah daripada harga asal. Selain daripada harga yang turun, kuantiti yang dikeluarkan oleh pengeluar juga meningkat. Ini pada sekilas pandang adalah baik kerana ekonomi akan lebih berkembang.
Namun begitu, adalah perlu diingat bahawa subsidi adalah satu langkah pemindahan pendapatan. Ini bermakna subsidi ini perlu dibiayai dengan mengenakan cukai. Ia bukanlah penjana ekonomi, tetapi hanyalah pemindahan kekayaan dari satu pihak ke pihak yang lain. Ya, untuk sektor yang diberi subsidi akan mendapat kesan positif, tetapi jika harga yang perlu dibayar adalah lebih tinggi daripada manfaat yang didapati, maka kesan bersih subsidi adalah negatif kerana ekonomi menjadi kurang efisien. Kos yang terpaksa ditanggung apabila melaksanakan subsidi ditunjukkan oleh "deadweight loss" pada gambarajah di atas (segitiga kuning).
Persoalannya, bilakah wajar untuk kita menerima "deadweight loss" ini dan melaksanakan subsidi? Ini hanyalah wajar apabila kita ingin memindahkan kekayaan daripada orang yang kaya kepada orang miskin. Subsidi minyak contohnya adalah tidak wajar. Ini kerana kajian menunjukkan bahawa lebih kaya seseorang itu, lebih banyak subsidi minyak yang dinikmatinya. Ini adalah logik kerana orang yang termiskin tidak mampu untuk membeli kereta maka tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada subsidi minyak manakala orang kaya akan memiliki kereta mahal dan berenjin besar yang menggunakan minyak yang banyak.
Subsidi bahan api secara sejarahnya adalah antara pemindahan pendapatan (transfer payment) terbesar di Malaysia. Namun begitu ianya bukanlah satu instrumen yang efektif untuk memindahkan kekayaan daripada orang kaya ke orang miskin. Kesannya ialah di Malaysia, tiada pindahan kekayaan daripada orang kaya kepada orang miskin yang efektif, seperti yang ditunjukkan oleh gambarajah di bawah:
Malaysia berada di garisan 45 darjah yang bermakna pendapatan rakyat sebelum dan selepas cukai tidak berubah. Ini kerana walaupun cukai kita progresif (orang kaya membayar cukai yang lebih tinggi), pemindahan pendapatan kita sebaliknya adalah regresif (orang kaya mendapat lebih banyak subsidi daripada orang miskin). Negara-negara yang berwarna biru di gambarajah di atas mempunyai sistem cukai yang progresif dan sistem pemindahan pendapatan yang progresif juga (orang miskin mendapat lebih banyak subsidi/bantuan) maka pemindahan pendapatan mereka adalah efektif dan ketidaksamaan mereka, selepas cukai adalah lebih rendah. Jika kita mengalami kerugian "deadweight loss" tetapi tidak berjaya memindahkan pendapatan, maka sistem subsidi kita adalah sia-sia dan hanya memberikan kerugian tanpa apa-apa kebaikan.
Hujah utama yang menyokong subsidi minyak ialah walaupun orang miskin tidak mempunyai kereta, tetapi penghapusan subsidi minyak akan menyebabkan harga barang meningkat maka orang miskin akan terkesan juga. Ini adalah benar tetapi jika kebajikan orang miskin yang ingin kita pelihara, mengapa tidak menggunakan instrumen yang menolong orang miskin secara langsung dan bukan secara tidak langsung seperti melalui harga minyak?
Jika menolong orang miskin adalah objektif kita, maka rata-rata ahli ekonomi bersetuju memberikan duit terus kepada orang miskin adalah langkah terbaik, seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang melalui BR1M. Ia adalah lebih baik daripada memberi kupon makanan kerana individu berbeza mempunyai keperluan yang berbeza dan duit membolehkan mereka memenuhi keperluan itu. Rata-rata kajian menunjukkan bahawa jika bantuan kewangan diberi kepada mereka yang betul-betul memerlukan, ianya akan digunakan dengan baik. Penyalahgunaan biasanya adalah kecil dan jika penyalahgunaan adalah besar pun ianya masih lebih baik daripada polisi tidak langsung seperti subsidi minyak.
Selain daripada mengalami kerugian "deadweight loss", subsidi juga meningkatkan jumlah barang subsidi yang di keluarkan dan digunakan. Sama ada ini baik atau buruk bergantung kepada jenis barang tersebut. Jika yang disubsidi ialah pendidikan atau penjagaan kesihatan, maka kenaikan penggunaan adalah baik. Ini kerana pendidikan contohnya mempunyai kesan positif yang lebih besar daripada harga yang dibayar. Ini dipanggil "positive externality" oleh ahli ekonomi.
Subsidi minyak atau gula sebagai contoh, adalah penggunaan yang mempunyai kesan buruk yang lebih mahal daripada harga yang di bayar. Ini dipanggil "negative externality" oleh ahli ekonomi. Subsidi minyak meningkatkan pencemaran alam sekitar dan menyebabkan kesesakan lalulintas yang menurunkan produktiviti negara. Rata-rata ahli ekonomi berpendapat bahawa minyak perlu dikenakan cukai untuk menggambarkan kos sebenar membakar bahan api. Subsidi gula meningkatkan penggunaan gula, yang menyebabkan penyakit kronik seperti diabetes yang kos rawatannya perlu ditanggung oleh kerajaan. Oleh itu, subsidi hanya wajar digunakan apabila penggunakan perkara itu menghasilkan "positive externality" dan cukai perlu dikenakan kepada penggunaan yang menyebabkan "negative externality".
Secara pendeknya, subsidi bukanlah pencipta kekayaan tetapi pemindah kekayaan. Memindahkan kekayaan bukan percuma dan kita perlu menerima "deadweight loss" sebagai kos. Oleh itu ianya hanya wajar apabila kesan positif pemindahan kekayaan ini melebihi deadweight loss yang perlu dibayar. Secara amnya, sistem subsidi Malaysia di masa lepas adalah tidak wajar kerana ianya tidak berkesan untuk memindahkan kekayaan. Penghapusan subsidi minyak dan pengenalan BR1M adalah langkah pertama yang baik untuk menghasilkan sistem pemindahan pendapatan (transfer payment) yang lebih efektif dan mengurangkan jurang kekayaan di negara kita, sekaligus mengurangkan kesempitan hidup rakyat miskin.
No comments:
Post a Comment