Sunday 9 October 2016

Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat: Gaji Minimum

Akhir-akhir ini saya perasan paras harga di Malaysia telah naik. Ramai yang mendesak kerajaan untuk mengambil langkah untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Ada banyak cara untuk kerajaan membantu rakyat dari segi kos hidup. Antaranya ialah:

1. Pemindahan Pendapatan (Subsidi dan BR1M)
2. Kawalan Harga
3. Gaji Minimum
4. Liberalisasi Pasaran
5. Bekalan oleh Kerajaan

Saya akan menulis beberapa artikel menerangkan baik dan buruk langkah-langkah diatas. Di artikel ini saya akan berbicara mengenai topik kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia iaitu gaji minimum.


































Gambarajah di atas ini menunjukkan apa yang akan berlaku apabila gaji minima yang lebih tinggi daripada gaji pasaran bebas dikenakan di dalam sesuatu ekonomi. Secara teorinya, mengenakan gaji minimum akan menyebabkan jumlah pekerjaan berkurang dan kadar pengangguran meningkat. Teori ekonomi sangat jelas mengenai kesan ini.

Namun begitu, bukti empirikal adalah lebih kabur kerana sesetengah kajian menunjukkan bahawa kadar pengangguran akan meningkat manakala sesetengah kajian menunjukkan kadar pengangguran akan berkurang. Kajian paling popular yang menunjukkan kesan yang berlawanan daripada teori ini adalah kajian pada tahun 1994 yang dilakukan di Amerika Syarikat oleh Card dan Krueger.

Namun begitu, perlu diingat bahawa kebanyakan implementasi gaji minimum adalah berpatutan dan tidak terlalu tinggi. Apabila gaji minimum sangat tinggi lama kelamaan kadar pengangguran akan meningkat juga. Sebagai contoh, jika gaji minimum Malaysia adalah RM10,000, banyak perniagaan akan lingkup kerana kos yang terlalu tinggi. Selain itu, harga barangan juga akan meningkat disebabkan kos yang lebih tinggi ini, menyebabkan kenaikan gaji yang diraih sia-sia kerana dimakan oleh inflasi.



Gambarajah diatas yang dikeluarkan oleh Office for National Statistics,UK menunjukkan kesan gaji minimum yang berkuatkuasa pada tahun 1997 kepada kadar gaji di UK. Gaji pekerja yang di bawah gaji minimum akan naik ke paras minimum, menyebabkan konsentrasi tinggi pada jumlah pekerja yang menerima gaji pada paras ini. Bagaimanapun, gaji minimum tiada kesan kepada pekerja di paras gaji yang lebih tinggi. Paras gaji yang lebih tinggi yang boleh dilihat di bahagian kanan gambarajah di atas adalah disebabkan oleh inflasi dan peningkatan produktiviti, bukan peningkatan gaji kepada pekerja lain di UK.


Oleh itu, gaji minimum yang berpatutan rata-rata akan memberi kesan positif kepada masyarakat yang termiskin. Gambarajah diatas menunjukkan bahawa gaji rakyat UK yang berada di tengah-tengah (median) rata-ratanya adalah 1.7 sehingga 2.1 kali lebih tinggi daripada gaji rakyat yang termiskin sebelum gaji minima dikenakan. Setelah sedekad polisi gaji minima dilaksanakan, perbezaan gaji ini rata-ratanya adalah lebih rendah daripada 1.7 kali. Ini membuktikan bahawa gaji minima menurunkan ketidaksamaan gaji di antara populasi 50% gaji terendah di UK. Hasilnya ialah kelas pertengahan yang lebih besar dan rakyat miskin yang lebih sedikit.

Kesimpulannya, gaji minimum akan memberi kesan yang sangat positif kepada rakyat yang termiskin di sesuatu negara, termasuk di Malaysia. Namun begitu, gaji minimum tidak akan memberi apa-apa kesan terus kepada kebanyakan rakyat Malaysia, yang rata-ratanya berada di kelas pertengahan. Namun begitu, gaji minimum boleh menolong kelas pertengahan Malaysia secara tidak langsung pada jangka panjang dengan menukar struktur ekonomi Malaysia.



Paras gaji adalah terikat dengan tahap produktiviti dan gambarajah di atas menunjukkan gaji rakyat Malaysia adalah berpatutan dengan output yang dihasilkan. Gaji rakyat Korea, Singapura dan Amerika Syarikat adalah lebih tinggi daripada gaji rakyat Malaysia kerana pekerja mereka adalah lebih produktif daripada pekerja Malaysia.





























Sebab mengapa produktiviti pekerja Malaysia adalah rendah adalah jelas dengan melihat gambarajah di atas. Separuh daripada pekerja di Malaysia bekerja di sektor yang memerlukan tenaga pekerja yang banyak. Namun begitu, sektor ini hanya menyumbangkan 32% daripada pendapatan negara. Hasilnya, gaji purata di sektor ini adalah lebih rendah. Sektor-sektor yang memerlukan ilmu yang tinggi dan kapital yang tinggi pula, gaji purata pekerjanya adalah jauh lebih tinggi. Ini menunjukkan bahawa struktur ekonomi sesebuah negara akan menentukan paras gaji sesebuah negara. Singapura mempunyai gaji yang tinggi kerana rata-rata rakyatnya bekerja di sektor yang memerlukan ilmu yang tinggi manakala di Korea pula, sebahagian besar rakyatnya bekerja di sektor yang memerlukan kapital yang tinggi.

Dengan adanya gaji minima, pekerjaan baru yang dicipta di masa hadapan tidak akan berada di dalam sektor yang memerlukan tenaga pekerja yang banyak kerana kosnya akan menjadi terlalu tinggi. Sebaliknya, pekerjaan-pekerjaan baru ini diharapkan akan berada di sektor yang memerlukan ilmu dan kapital yang tinggi. Ini akan menaikkan paras gaji di Malaysia kerana sektor-sektor ini akan menghasilkan pekerjaan dengan gaji yang lebih lumayan.






























Projek RAPID di Pangerang dan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur dibina bukan secara kebetulan, tetapi kerana industri minyak dan gas serta kewangan dan insuran menghasilkan pekerjaan dengan gaji yang paling tinggi, seperti yang ditunjukkan pada gambarajah di atas. Polisi kerajaan adalah dibuat dengan harapan ia dapat mengecilkan bulatan-bulatan ungu dan membesarkan bulatan-bulatan jingga dan hijau.

Kesimpulannya, gaji minima yang berpada-pada adalah polisi yang baik untuk Malaysia. Ini kerana, pada jangkamasa terdekat, ia dapat menaikkan pendapatan rakyat termiskin di Malaysia dan di jangka masa panjang dapat menaikkan paras gaji rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Tuesday 8 December 2015

Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat: Kawalan Harga

Akhir-akhir ini saya perasan paras harga di Malaysia telah naik. Ramai yang mendesak kerajaan untuk mengambil langkah untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Ada banyak cara untuk kerajaan membantu rakyat dari segi kos hidup. Antaranya ialah:

1. Pemindahan Pendapatan (Subsidi dan BR1M)
2. Kawalan Harga
3. Gaji Minimum
4. Liberalisasi Pasaran
5. Bekalan oleh Kerajaan

Saya akan menulis beberapa artikel menerangkan baik dan buruk langkah-langkah diatas. Di artikel ini saya akan berbicara mengenai kawalan harga yang sering kali dilakukan ketika musim perayaan di Malaysia.


Impak kawalan harga boleh digambarkan oleh gambarajah di atas. Kesan pertama yang boleh dilihat adalah harga turun daripada harga asal kepada harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan. Oleh itu, harga kawalan adalah efektif untuk menurunkan harga (dengan penguatkuasaan berkesan).

Namun begitu, harga yang lebih rendah ini menyebabkan permintaan meningkat. Pada masa yang sama, bekalan menurun kerana peniaga tidak ingin membekalkan barang tersebut pada harga yang rendah sebegini. Kesannya adalah terdapat kekurangan bekalan seperti yang ditunjukkan pada gambarajah di atas. Maka terdapat sebahagian rakyat yang tidak akan mendapat barang tersebut walaupun mereka benar-benar memerlukannya. Salah satu cara untuk mengatasi masalah bekalan tidak simetri (asymmetric distribution) ini adalah dengan mengenakan catuan. Ini adalah senario lazim pada musim perayaan di negara ini. Kerajaan melaksanakan kawalan harga dan bekalan di pasaran tidak mencukupi. Setiap individu hanya dibenarkan oleh peruncit untuk membeli barang berkenaan dalam unit yang terhad.

Jika pasaran bebas dikekalkan, peniaga akan dapat menjangka bahawa permintaan akan meningkat pada musim perayaan dan akan miningkatkan pengeluaran atau mengimport lebih banyak barang tersebut untuk memenuhi permintaan. Harga yang tinggi ini juga akan menarik lebih ramai pembekal dan dengan ini, kenaikan harga, walaupun akan berlaku adalah terkawal. Pembekal sayuran contohnya akan mengimport lebih banyak sayuran di musim perayaan kerana menjangkakan peningkatan permintaan. Ini menyebabkan kenaikan harga di musim perayaan kecil. Selain itu ia juga menarik lebih banyak pelaburan dan inovasi dan dalam jangka masa panjang masalah ketidaktentuan harga ini dapat diselesaikan.

Namun begitu dengan kawalan harga insentif untuk untuk meningkatkan bekalan hilang sama sekali. Malah, kerana margin semakin kecil maka peniaga akan mengurangkan bekalan dan memburukkan lagi keadaan. Kesan jangka panjang ialah kekurangan pelaburan untuk membekalkan barang tersebut dan ini akan mengurangkan persaingan di masa hadapan. Inilah yang berlaku dalam industri bekalan ayam di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh MyCC. Kesannya, masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ini akan menjadi lebih teruk dan berlarutan selama-lamanya.

Selain itu, sebagaimana yang kita tahu, campur tangan dalam pasaran bebas sentiasa mempunyai kos tersembunyi. Oleh kerana harga terlalu rendah, kadar pengeluaran jatuh dan faktor-faktor pengeluaran (seperti tanah, mesin-mesin dan tenaga pekerja) sama ada akan terbiar atau digunakan untuk aktiviti yang kurang produktif untuk ekonomi secara keseluruhannya. Inilah yang dipanggil "deadweight loss" oleh ahli ekonomi. Oleh itu, kawalan harga hanya akan menyebabkan kerugian "deadweight loss" tanpa kesan positif kepada ekonomi dalam jangka masa panjang.

Campur tangan terhadap pasaran bebas hanya wajar dilakukan apabila terdapat kegagalan pasaran (market failure). Kenaikan harga bukanlah kegagalan pasaran kerana ia adalah mekanisma untuk memastikan bahawa barang hanya diedarkan kepada yang benar-benar memerlukannya. Tanpa kenaikan harga, mereka yang benar-benar perlu tidak akan mendapat barang tersebut atau terpaksa membeli di pasaran gelap dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, justifikasi untuk mengamalkan kawalan harga adalah lemah kerana ianya meningkatkan permintaan dan menurunkan produksi/bekalan. Penyelesaian yang lebih baik adalah polisi yang dapat meningkatkan bekalan seperti subsidi pengeluaran. Campur tangan sebelah bekalan ini akan saya kupas dengan lebih lanjut di artikel-artikel berikutnya.

Tuesday 14 July 2015

Apakah Itu Deadweight Loss?

Di dalam artikel-artikel saya yang lain saya ada banyak menggunakan frasa "deadweight loss". Ramai rakan saya bertanya apakah sebenarnya deadweight loss ini? Oleh itu, di artikel ini saya akan menerangkan dengan lebih mendalam apakah itu deadweight loss.

Secara pendeknya untuk setiap barang di dalam ekonomi terdapat jumlah keluaran yang optimum. Apabila terlalu sedikit barang itu dikeluarkan maka ekonomi tidak berfungsi pada tahap maksimum. Maka terdapat potensi kekayaan yang tidak dicapai dan inilah yang dipanggil deadweight loss. Sebaliknya apabila terlalu banyak sesuatu barang itu dikeluarkan, ianya juga merugikan ekonomi kerana sumber-sumber (resource) yang ada boleh digunakan untuk aktiviti lain yang mempunyai produktiviti yang lebih tinggi.

Berapakah jumlah keluaran yang optimum ini? Kita akan menganbil sebagai contoh barang X yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat. Barang X ialah barang biasa (normal good) maka lebih banyak X dikeluarkan, harga X akan semakin menurun. Jika 8 unit dikeluarkan harga X ialah RM 12, jika 10 unit dikeluarkan harga X ialah RM 10 dan jika 12 unit dikeluarkan harga X ialah RM 8. Secara pokoknya, setiap unit yang dikeluarkan menurunkan harga jualan sebanyak RM 1. Andaikan juga satu-satunya input untuk barang X ialah tenaga buruh (labour). Satu unit X memerlukan sejam untuk di buat dan gaji buruh sejam adalah RM 10.

Teori ekonomi menyatakan bahawa jumlah keluaran optimum adalah apabila gaji bersamaan dengan harga jualan. Oleh itu, di dalam contoh diatas, syarikat tersebut patut mengeluarkan 10 unit. Keuntungan syarikat adalah maksimum pada keluaran ini.

Cuba kita lihat jika syarikat mengeluarkan terlalu sedikit, iaitu 8 unit. Jika ia meningkatkan keluaran dan mengeluarkan 9 unit ia boleh menjual X dengan harga RM 11, tetapi kos kepada syarikat hanyalah RM 10. Maka dengan menambahkan jumlah keluaran sebanyak 1 unit, syarikat ini mampu mendapat keuntungan yang lebih tinggi. Kekayaan RM 1 yang boleh dihasilkan tetapi tidak wujud inilah yang di panggil deadweight loss. Ini bermaksud ekonomi ini mempunyai potensi yang lebih tinggi tetapi ia tidak dicapai sepenuhnya. Harga siling boleh menyebabkan deadweight loss kerana syarikat akan memotong jumlah keluaran ke tahap yang tidak efisien.

Sebaliknya jika syarikat ini mengeluarkan barang X pada jumlah yang terlalu banyak iaitu 12 unit, syarikat rugi kerana harga jualan hanyalah RM 8 tetapi harga kos ialah RM 10. Jika syarikat hanya mengeluarkan 11 unit, kerugian syarikat dapat dikurangkan sebanyak RM 1 kerana harga jualan meningkat kepada RM 9. Kerugian yang dialami kerana menghasilkan terlalu banyak inilah yang dipanggil deadweight loss. Ini boleh berlaku apabila kerajaan memberi subsidi kerana syarikat akan menaikkan jumlah keluaran. Namun begitu, kerugian ini masih wujud, cuma dengan subsidi ianya tidak ditanggung oleh syarikat tetapi oleh rakyat melalui bayaran cukai.

Secara amnya, apabila pasaran bebas keluaran akan berada pada tahap optimum dan deadweight loss tidak akan berlaku. Namun begitu, apa-apa campur tangan dalam pasaran yang menyebabkan jumlah keluaran meningkat atau menurun, maka deadweight loss akan dialami dan ekonomi akan mengecil.

Monday 13 July 2015

Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat: Subsidi

Akhir-akhir ini saya perasan paras harga di Malaysia telah naik. Ramai yang mendesak kerajaan untuk mengambil langkah untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Ada banyak cara untuk kerajaan membantu rakyat dari segi kos hidup. Antaranya ialah:

1. Pemindahan Pendapatan (Subsidi dan BR1M)
2. Kawalan Harga
3. Gaji Minimum
4. Liberalisasi Pasaran
5. Bekalan oleh Kerajaan

Saya akan menulis beberapa artikel menerangkan baik dan buruk langkah-langkah diatas. Di artikel ini saya akan menerangkan mengenai subsidi dan BR1M.


Kebaikan utama subsidi ialah ianya efektif sebagai alat untuk menurunkan harga, seperti yang ditunjukkan pada gambarajah diatas. Dengan subsidi, harga baru adalah lebih rendah daripada harga asal. Selain daripada harga yang turun, kuantiti yang dikeluarkan oleh pengeluar juga meningkat. Ini pada sekilas pandang adalah baik kerana ekonomi akan lebih berkembang.

Namun begitu, adalah perlu diingat bahawa subsidi adalah satu langkah pemindahan pendapatan. Ini bermakna subsidi ini perlu dibiayai dengan mengenakan cukai. Ia bukanlah penjana ekonomi, tetapi hanyalah pemindahan kekayaan dari satu pihak ke pihak yang lain. Ya, untuk sektor yang diberi subsidi akan mendapat kesan positif, tetapi jika harga yang perlu dibayar adalah lebih tinggi daripada manfaat yang didapati, maka kesan bersih subsidi adalah negatif kerana ekonomi menjadi kurang efisien. Kos yang terpaksa ditanggung apabila melaksanakan subsidi ditunjukkan oleh "deadweight loss" pada gambarajah di atas (segitiga kuning).

Persoalannya, bilakah wajar untuk kita menerima "deadweight loss" ini dan melaksanakan subsidi? Ini hanyalah wajar apabila kita ingin memindahkan kekayaan daripada orang yang kaya kepada orang miskin. Subsidi minyak contohnya adalah tidak wajar. Ini kerana kajian menunjukkan bahawa lebih kaya seseorang itu, lebih banyak subsidi minyak yang dinikmatinya. Ini adalah logik kerana orang yang termiskin tidak mampu untuk membeli kereta maka tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada subsidi minyak manakala orang kaya akan memiliki kereta mahal dan berenjin besar yang menggunakan minyak yang banyak.

Subsidi bahan api secara sejarahnya adalah antara pemindahan pendapatan (transfer payment) terbesar di Malaysia. Namun begitu ianya bukanlah satu instrumen yang efektif untuk memindahkan kekayaan daripada orang kaya ke orang miskin. Kesannya ialah di Malaysia, tiada pindahan kekayaan daripada orang kaya kepada orang miskin yang efektif, seperti yang ditunjukkan oleh gambarajah di bawah:


Malaysia berada di garisan 45 darjah yang bermakna pendapatan rakyat sebelum dan selepas cukai tidak berubah. Ini kerana walaupun cukai kita progresif (orang kaya membayar cukai yang lebih tinggi), pemindahan pendapatan kita sebaliknya adalah regresif (orang kaya mendapat lebih banyak subsidi daripada orang miskin).  Negara-negara yang berwarna biru di gambarajah di atas mempunyai sistem cukai yang progresif dan sistem pemindahan pendapatan yang progresif juga (orang miskin mendapat lebih banyak subsidi/bantuan) maka pemindahan pendapatan mereka adalah efektif dan ketidaksamaan mereka, selepas cukai adalah lebih rendah. Jika kita mengalami kerugian "deadweight loss" tetapi tidak berjaya memindahkan pendapatan, maka sistem subsidi kita adalah sia-sia dan hanya memberikan kerugian tanpa apa-apa kebaikan.

Hujah utama yang menyokong subsidi minyak ialah walaupun orang miskin tidak mempunyai kereta, tetapi penghapusan subsidi minyak akan menyebabkan harga barang meningkat maka orang miskin akan terkesan juga. Ini adalah benar tetapi jika kebajikan orang miskin yang ingin kita pelihara, mengapa tidak menggunakan instrumen yang menolong orang miskin secara langsung dan bukan secara tidak langsung seperti melalui harga minyak? 

Jika menolong orang miskin adalah objektif kita, maka rata-rata ahli ekonomi bersetuju memberikan duit terus kepada orang miskin adalah langkah terbaik, seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang melalui BR1M. Ia adalah lebih baik daripada memberi kupon makanan kerana individu berbeza mempunyai keperluan yang berbeza dan duit membolehkan mereka memenuhi keperluan itu. Rata-rata kajian menunjukkan bahawa jika bantuan kewangan diberi kepada mereka yang betul-betul memerlukan, ianya akan digunakan dengan baik. Penyalahgunaan biasanya adalah kecil dan jika penyalahgunaan adalah besar pun ianya masih lebih baik daripada polisi tidak langsung seperti subsidi minyak.

Selain daripada mengalami kerugian "deadweight loss", subsidi juga meningkatkan jumlah barang subsidi yang di keluarkan dan digunakan. Sama ada ini baik atau buruk bergantung kepada jenis barang tersebut. Jika yang disubsidi ialah pendidikan atau penjagaan kesihatan, maka kenaikan penggunaan adalah baik. Ini kerana pendidikan contohnya mempunyai kesan positif yang lebih besar daripada harga yang dibayar. Ini dipanggil "positive externality" oleh ahli ekonomi.

Subsidi minyak atau gula sebagai contoh, adalah penggunaan yang mempunyai kesan buruk yang lebih mahal daripada harga yang di bayar. Ini dipanggil "negative externality" oleh ahli ekonomi. Subsidi minyak meningkatkan pencemaran alam sekitar dan menyebabkan kesesakan lalulintas yang menurunkan produktiviti negara. Rata-rata ahli ekonomi berpendapat bahawa minyak perlu dikenakan cukai untuk menggambarkan kos sebenar membakar bahan api. Subsidi gula meningkatkan penggunaan gula, yang menyebabkan penyakit kronik seperti diabetes yang kos rawatannya perlu ditanggung oleh kerajaan. Oleh itu, subsidi hanya wajar digunakan apabila penggunakan perkara itu menghasilkan "positive externality" dan cukai perlu dikenakan kepada penggunaan yang menyebabkan "negative externality".

Secara pendeknya, subsidi bukanlah pencipta kekayaan tetapi pemindah kekayaan. Memindahkan kekayaan bukan percuma dan kita perlu menerima "deadweight loss" sebagai kos. Oleh itu ianya hanya wajar apabila kesan positif pemindahan kekayaan ini melebihi deadweight loss yang perlu dibayar. Secara amnya, sistem subsidi Malaysia di masa lepas adalah tidak wajar kerana ianya tidak berkesan untuk memindahkan kekayaan. Penghapusan subsidi minyak dan pengenalan BR1M adalah langkah pertama yang baik untuk menghasilkan sistem pemindahan pendapatan (transfer payment) yang lebih efektif dan mengurangkan jurang kekayaan di negara kita, sekaligus mengurangkan kesempitan hidup rakyat miskin.

Wednesday 17 June 2015

Adakah Ekonomi Satu Permainan Berjumlah Sifar (Zero-Sum Game)?

Baru-baru ini saya membaca di akhbar bahawa terdapat dua peniaga yang bergaduh kerana merebut tapak perniagaan bazar Ramadhan. Penganut Buddha Myanmar memberitahu bahawa mereka membunuh kaum Rohingya kerana mereka adalah pendatang yang mencuri tanah dan pekerjaan daripada rakyat jati Myanmar. Di Malaysia, seringkali orang Melayu mengatakan bahawa kehadiran orang Cina dan India menyebabkan orang Melayu hilang sumber rezeki kerana dibolot oleh pendatang-pendatang ini. Pernyataan-pernyataan sebegini seringkali kita dengar di seluruh dunia. Pernyataan sebegini wujud kerana ramai orang percaya bahawa ekonomi adalah satu "zero-sum game" di mana kekayaan adalah terhad dan kita perlu bersaing untuk mendapatkannya. Namun begitu, adakah kepercayaan sebegini wajar?

Saya ingin memberi pencerahan untuk topik ini menggunakan satu contoh. Katalah saya adalah seorang doktor yang berjalan dari rumah ke rumah untuk merawat pesakit. Berjalan adalah memenatkan dan kebanyakan hari saya habiskan dengan berjalan dan bukan merawat pesakit. Untuk menjadikan perkhidmatan saya lebih efisien saya ingin membina sebuah kereta. Ini membolehkan saya memotong masa saya berjalan dan merawat lebih banyak pesakit. Saya tidak tahu apa-apa mengenai kereta, oleh itu saya bukanlah pembina kereta yang baik. Kos untuk saya membina kereta sendiri adalah satu juta ringgit.

Kawan saya Arman pula adalah seorang jurutera automotif yang pernah berguru dengan Tuan Guru Toyoda. Oleh itu, Arman adalah pembina kereta yang baik dan mampu membina kereta yang sama dengan harga seratus ribu ringgit sahaja. Jika saya tidak membina kereta sendiri tetapi Arman yang membina kereta itu dan kemudian menjualnya kepada saya, maka kekayaan baru sebanyak sembilan ratus ribu ringgit akan dijana kerana Arman lebih cekap membina kereta daripada saya. Ahli ekonomi memanggil kekayaan baru yang dicipta ini sebagai "surplus".

Persoalannya siapa yang akan mendapat surplus ini? Jika saya orang yang rasional, saya akan membeli kereta daripada Arman jika dia membina dan menjualnya kepada saya dengan harga sembilan ratu sembilan puluh sembilan ribu sembilan ratus sembilan puluh sembilan ringgit sembilan puluh sembilan sen kerana saya akan untung sebanyak satu sen jika saya berbuat demikian. Tetapi Arman telah membuat kajian pasaran dan mendapati bahawa jika dia menjual kereta pada harga tersebut hanya saya seorang yang mampu membeli kereta buatan Arman. Tetapi jika dia menjualnya pada harga lima ratus ribu sebiji, Arman menjangka bahawa dia mampu menjual sepuluh biji dan meraih keuntungan yang lebih besar melalui jumlah.

Maka, jika Arman menjual kereta itu kepada saya dengan harga setengah juta, saya dapat jimat sebanyak setengah juta. Setengah juta ini dipanggil "consumer surplus" oleh ahli ekonomi. Arman pula akan untung sebanyak empat ratus ribu dan ahli ekonomi memanggil ini sebagai "producer surplus". (*Nota: Surplus=Consumer Surplus+Producer Surplus)

Namun begitu, Arman mempunyai seorang kembar yang juga berguru dengan Tuan Guru Toyoda bernama Arman2. Arman2 juga boleh membina kereta dengan efisien seperti Arman. Melihat Arman membuat keuntungan yang banyak, Arman2 membuat keputusan untuk menjual kereta juga. Kerana persaingan kedua-dua kembar ini, harga pasaran kereta turun separuh kepada dua ratus lima puluh ribu ringgit. Oleh itu, apabila terdapat persaingan, pengguna akan untung kerana bahagian surplus yang pergi kepada pengguna akan menjadi lebih besar.

Oleh itu, apabila terdapat transaksi ekonomi (yang bukan judi atau penipuan), surplus akan dijana. Siapa yang mendapat surplus lebih besar, sama ada peniaga atau pengguna bergantung kepada dua perkara. Yang pertama ialah permintaan terhadap barang itu. Lebih tinggi permintaan, Producer Surplus lebih besar. Yang kedua ialah persaingan daripada peniaga-peniaga lain. Lebih banyak persaingan, Consumer Surplus lebih tinggi.

Hendak dijadikan cerita, Arman mempunyai seorang lagi kembar. Kembar Arman ini malas belajar dan tidak berguru dengan Tuan Guru Toyoda. Namun begitu, kembar malas Arman cemburu melihat keuntungan besar yang diraih oleh Arman dan Arman2 dan mahu membolot semua kekayaan mereka untuk dirinya sendiri. Dia berkomplot dengan pembesar jahat negara ketika itu, Datuk Seri Bongkak. Datuk Seri Bongkak menggubal undang-undang yang menyatakan bahawa hanya kembar malas Arman yang dibenarkan untuk membina dan menjual kereta di negara tersebut.

Kembar malas Arman membina kereta dengan harga sejuta ringgit dan menjualnya dengan harga dua juta ringgit. Oleh kerana saya tidak dibenarkan membeli kereta daripada Arman dan Arman2 dan tidak boleh membina kereta sendiri, maka saya tidak mempunyai pilihan selain daripada membeli kereta daripada kembar malas Arman dengan harga dua juta ringgit.

Di dalam situasi ini, dua perkara yang berlaku. Yang pertama ialah ekonomi ini tidak mencapai potensi sebenarnya kerana sembilan ratus ribu surplus yang boleh dicapai tidak akan wujud kerana undang-undang yang digubal oleh Datuk Seri Bongkak. Yang kedua, saya perlu memberi kepada kembar malas Arman sejuta ringgit tanpa sebab yang munasabah kerana tanpa undang-undang ini, saya boleh membina kereta sendiri dan simpan sejuta ringgit tersebut. Aktiviti yang dilakukan oleh kembar malas Arman ini dipanggil "Rent Seeking" oleh ahli ekonomi. Kembar malas Arman mencipta "red tape" untuk mengutip "rent".

Situasi sebegini adalah lebih biasa daripada yang kita sangkakan. Apa-apa sekatan perniagaan atau import dan eksport akan menggalakkan "Rent Seeking". Sebagai contoh untuk membina kilang kereta di Malaysia saya terlebih dahulu perlu mendapatkan Manufacturing License (ML) daripada kerajaan. Ini bermakna kilang yang sudah beroperasi akan cenderung untuk menggunakan posisinya untuk mengutip keuntungan tanpa justifikasi. Sekatan import seperti "Approved Permit" (AP) adalah contoh  lain "Rent Seeking". Pemegang AP duduk di antara pengeksport dan pengimport dan mengutip sebahagian (atau semua) surplus. Ahli ekonomi panggil surplus yang dikutip ini sebagai "Quota Rent". Kesimpulannya, apabila pasaran bebas tanpa sekatan, maka setiap transaksi ekonomi ialah pencipta nilai.

Berbalik kepada topik asal, sebahagian besar daripada ekonomi sebenarnya adalah penciptaan nilai atau kekayaan yang baru. Namun begitu untuk mencipta nilai ini kita memerlukan faktor pengeluaran dan disinilah perbalahan boleh terjadi. Di dalam contoh Arman di atas faktor pengeluaran utama ialah ilmu pengetahuan. Di dalam contoh perbalahan tapak bazar Ramadhan faktor pengeluaran utama ialah posisi yang strategik. Ini kerana jika semua penjaja menjual makanan yang sama dengan harga yang sama, maka tapak kedai adalah faktor utama yang menentukan keuntungan. Tetapi jika peniaga ini berguru dengan Chef Wan dan menjual sebagai contoh Roti John yang tersedap di dunia, maka posisi yang strategik dan harga tidak lagi penting kerana penggemar Roti John akan datang juga tidak kira dimana gerai ini berada.

Dengan kata lain, ilmu dan kepakaran adalah faktor produksi yang paling penting kerana ia melipatgandakan faktor produksi tradisional lain seperti tanah. Oleh itu, ekonomi yang dijana oleh idea dan pengetahuan bukanlah zero-sum game tetapi "value creation". Ini disimpulkan dengan mudah oleh gambarajah daripada majalah The Economist di bawah. Jumlah tanah tetap sama tetapi jumlah kegiatan ekonomi melonjak beberapa tahun lepas ini kerana pengumpulan ilmu.


Saban kali untuk menutup kegagalan mereka sendiri untuk menjana ekonomi, sesebuah kerajaan akan menyalahkan sesetengah golongan atau negara lain. Kerajaan Myanmar gagal untuk memberi pendidikan dan mewujudkan pekerjaan kepada rakyatnya jadi mereka memesongkan perhatian rakyat dengan menyalahkan kaum Rohingya. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengelak daripada dihasut untuk menyalahkan sesama sendiri di atas keadaan ekonomi kita. Jatuh atau bangun ekonomi bergantung kepada pendidikan yang berkualiti dan institusi-institusi yang baik. Oleh itu, kita perlu bergabung tenaga dan berjuang untuk mendapatkan perkara-perkara tersebut dan bukan menyalahkan sesama sendiri.

Friday 22 May 2015

Mengapa Meritokrasi Buruk Untuk Negara

Meritokrasi adalah perkataan yang menarik. Ia melambangkan keadilan. Siapa berusaha, dia dapat keuntungan dan siapa yang malas tidak mendapat apa-apa. Namun begitu, adakah ini semua selari dengan realiti dunia?

Bayangkan satu situasi dimana ada dua orang kanak-kanak, seorang lahir kepada sebuah keluarga kaya dan seorang lagi dilahirkan di dalam keluarga miskin. Kita boleh bayangkan 17 tahun kemudian semasa peperiksaan SPM anak yang lahir di keluarga kaya akan mendapat keputusan yang lebih baik walaupun keupayaan mereka sama ketika lahir. Ini kerana keluarga kaya mampu memberikan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak mereka. Walaupun mereka pergi ke sekolah kerajaan yang sama, ibu bapa keluarga kaya mampu memberikan pendidikan prasekolah (kajian menunjukkan pendidikan awal (kurang dari 5 tahun) memberi kesan positif seumur hidup), menghantar ke kelas piano (bermain alat muzik mampu menaikkan IQ sebanyak 7 unit), membiayai kelas tuisyen dan macam-macam lagi. Oleh itu, di bawah sistem meritokrasi, anak orang kaya juga berkemungkinan besar akan menjadi kaya, dan anak orang miskin berkemungkinan besar akan kekal miskin.

Kajian menunjukkan bahawa ketidaksamaan ekonomi (inequality) bukan sahaja akan kekal (persistent) walaupun negara tersebut semakin maju, namun jurang antara kaya dan miskin juga  akan menjadi lebih luas. Ini bermakna bahawa meritokrasi akan menyebabkan jurang ekonomi semakin membesar dan kajian menunjukkan bahawa negara yang mempunyai ketidaksamaan ekonomi yang lebih besar akan membangun dengan lebih perlahan. Oleh itu polisi egalitarian (seperti meritokrasi) adalah konsep utopia yang tidak selari dengan dunia sebenar.

Oleh itu tindakan afirmatif adalah perlu untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan memastikan bahawa pembangunan yang dicapai tidak tertumpu kepada sesetengah pihak sahaja. Namun begitu, bilakah polisi tindakan afirmatif wajar dan bilakah ianya tidak? Polisi ini wajar apabila terdapat "structural inequality", atau ketidaksamaan yang berdasarkan azali seperti jantina atau kaum. "Market inequality" adalah ketidaksamaan yang ditentukan oleh pasaran. Contoh "market inequality" adalah perbezaan gaji antara seorang doktor dan kerani. Saya yakin kita semua boleh memberikan sebab-sebab logik kenapa adalah wajar untuk seorang doktor dibayar lebih tinggi berbanding seorang kerani.

Contoh "structural inequality" adalah dua orang doktor dengan kemampuan yang sama, seorang wanita dan seorang lelaki tetapi doktor lelaki dibayar lebih dari doktor wanita. Keadaannya sebagai wanita itu di tentukan secara rawak oleh "nature" dan bukan kesan dari perlakuan diri. Apabila wujud ketidaksamaan seperti ini, adalah wajar kita menggubal polisi untuk membetulkan situasi ini. Contoh lain adalah sama ada seseorang itu lahir di keluarga miskin atau kaya. Ini juga ditentukan secara rawak oleh "nature". Oleh itu adalah wajar untuk polisi kerajaan mengurangkan kesan buruk yang timbul daripada keadaan ini.

Dasar Ekonomi Baru (NEP) yang dilancarkan oleh Tun Razak, walaupun pada zahirnya nampak seperti tidak adil, ianya adalah perlu kerana ia memperbaiki ketidaksamaan yang sedia ada dalam kehidupan. Dilahirkan sebagai bumiputra juga bermaksud berkemungkinan besar dilahirkan didalam kemiskinan. Oleh itu polisi perlu digubal untuk mengurangkan kesan buruk tindakan rawak tersebut. Sebagai ahli ekonomi, polisi pembangunan yang baik adalah pembangunan yang memberi lebih manfaat kepada orang miskin berbanding orang kaya dan itulah yang berjaya dicapai oleh NEP di masa lepas.

Hakikatnya tindakan afirmatif dilakukan di hampir semua negara di dunia. Golongan wanita di kebanyakan negara adalah penerima manfaat polisi sebegini. Tindakan afirmatif juga disasarkan kepada banyak kaum minoriti di dunia, seperti orang berkulit hitam di Amerika Syarikat. Satu-satunya sebab mengapa tindakan afirmatif di Malaysia penuh dengan kontroversi adalah kerana ia di sasarkan terhadap kaum majoriti yang juga pemegang kuasa politik.

Oleh itu, sebelum melaungkan meritokrasi dan keadilan, ingatlah bahawa dunia ini sendiri tidak adil. Kita boleh meramalkan pendapatan hidup seseorang berdasarkan status rawak yang ditentukan oleh "nature" seperti taraf ekonomi keluarga, tempat lahir, bangsa dan jantina. Oleh itu kita perlu menggubal polisi yang mengurangkan ketidakadilan ini agar perkara lain seperti usaha, keberanian dan kebijaksanaan yang menentukan taraf ekonomi seseorang.





Saturday 28 February 2015

Mengapa Defisit Kerajaan Baik Untuk Malaysia

Secara amnya kita percaya bahawa adalah lebih baik untuk menyimpan daripada mempunyai hutang. Menggunakan logik yang sama, kita boleh membuat kesimpulan bahawa adalah lebih baik untuk kerajaan Malaysia mempunyai lebihan bajet daripada defisit. Namun begitu, kerajaan sebagai satu organisasi tidak boleh disamakan dengan syarikat ataupun individu. Ini kerana tujuan utama kerajaan ditubuhkan adalah untuk memaksimakan kebajikan rakyat. Kadang-kala, untuk kebajikan rakyat, kerajaan perlu berhutang. Di artikel ini saya akan cuba menerangkan kenapa dalam situasi Malaysia sekarang, defisit bajet kerajaan adalah lebih baik daripada lebihan bajet.




Dalam dekad sebelum Krisis Kewangan Asia (AFC) pada tahun 1997, purata pelaburan pihak swasta di Malaysia adalah 22.9% daripada GDP. Daripada tahun 2001 hingga 2011 purata pelaburan swasta hanyalah 11.8% daripada GDP. Ini bermakna syarikat-syarikat di Malaysia melabur dengan terlalu sedikit. Ini menyebabkan pengumpulan modal kapital yang lebih perlahan seperti yang ditunjukkan diatas. Pengumpulan modal kapital yang lebih perlahan ini adalah diantara sebab mengapa Malaysia membangun dengan lebih perlahan selepas AFC.

Apabila pelaburan syarikat-syarikat di Malaysia adalah lebih rendah daripada kadar penyimpanan mereka, maka mereka menjadi penyimpan bersih. Simpanan ini menyebabkan terdapat lebihan kredit di dalam ekonomi yang perlu dipinjam sama ada oleh kerajaan ataupun isirumah (household). Adalah bukan kebetulan bahawa walaupun Malaysia adalah pemberi pinjaman bersih (net lender) kepada dunia sejak AFC, hutang kerajaan dan hutang isirumah di Malaysia melonjak naik.

Jika diberi pilihan, adalah lebih baik jika kerajaan, bukan rakyat yang meminjam duit ini. Ini kerana, secara amnya kadar faedah yang dibayar oleh kerajaan adalah lebih rendah daripada yang di bayar isirumah. Dengan menyerap lebih banyak kredit yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat, kerajaan boleh mengurangkan beban hutang isi rumah di Malaysia.

Sebagai contoh, kerajaan boleh meminjam duit dan menggunakannya untuk membina rumah mampu milik yang dijual kepada rakyat pada harga kos (berserta kos kewangan). Impak ini boleh dimaksimumkan jika rumah mampu milik ini dibina berdekatan dengan projek MRT yang sedang dibina sekarang. Kerana perbelanjaan utama isirumah adalah tempat tinggal dan pengangkutan, maka ini akan mengurangkan masalah kos hidup tinggi dan hutang isi rumah tinggi dengan serentak.

Idea asasnya ialah, jika kerajaan berhutang dan membelanjakannya kepada perkara yang memanfaatkan rakyat, ini sama seperti kerajaan membuat pinjaman bagi pihak rakyat dengan kadar faedah yang rendah. Penerima manfaat terbesar ialah orang miskin kerana orang miskin selalunya tidak mempunyai akses kepada kredit.

Namun begitu, terdapat had untuk hutang yang mampu ditanggung kerajaan. Apabila hutang kerajaan mencapai satu tahap kritikal, maka pertumbuhan ekonomi akan terjejas. Kajian emperikal mencadangkan bahawa tahap kritikal ini adalah hutang kepada GDP sebanyak 90% untuk negara maju dan 60% untuk negara membangun. Bagi Malaysia, asalkan defisit adalah lebih rendah daripada pertumbuhan ekonomi, maka hutang kerajaan tidak akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara.

Pada tahun 2012 pelaburan swasta telah melonjak kepada 15.5% dan dijangka akan terus meningkat di masa hadapan. Apabila pelaburan swasta mencapai tahap yang cukup tinggi kelak, kerajaan perlu mengurangkan defisit. Jika tidak, syarikat yang ingin melabur tidak akan mendapat kredit kerana ia telah diambil oleh kerajaan (crowding out). Selain itu, akaun semasa Malaysia juga mungkin akan menjadi negatif dan menyebabkan deficit kembar (twin deficits).

Apa yang akan terjadi jika kerajaan Malaysia memutuskan untuk mempunyai lebihan bajet pada masa ini? Kerana syarikat dan kerajaan sekarang adalah peminjam bersih, maka kredit ini akan dipinjam oleh rakyat dan kadar hutang isirumah akan meningkat. Kerana kadar isirumah sekarang sudah tinggi, maka ia tidak akan dapat menyerap semua lebihan kredit ini dan ia akan keluar dari Malaysia. Ekonomi Malaysia tidak akan beroperasi pada kapasiti penuh dan pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih perlahan.

Kesimpulannya, bertentangan dengan pendapat popular, lebihan bajet kerajaan adalah lebih buruk daripada defisit (yang terkawal) untuk Malaysia buat masa ini.