Wednesday, 17 June 2015

Adakah Ekonomi Satu Permainan Berjumlah Sifar (Zero-Sum Game)?

Baru-baru ini saya membaca di akhbar bahawa terdapat dua peniaga yang bergaduh kerana merebut tapak perniagaan bazar Ramadhan. Penganut Buddha Myanmar memberitahu bahawa mereka membunuh kaum Rohingya kerana mereka adalah pendatang yang mencuri tanah dan pekerjaan daripada rakyat jati Myanmar. Di Malaysia, seringkali orang Melayu mengatakan bahawa kehadiran orang Cina dan India menyebabkan orang Melayu hilang sumber rezeki kerana dibolot oleh pendatang-pendatang ini. Pernyataan-pernyataan sebegini seringkali kita dengar di seluruh dunia. Pernyataan sebegini wujud kerana ramai orang percaya bahawa ekonomi adalah satu "zero-sum game" di mana kekayaan adalah terhad dan kita perlu bersaing untuk mendapatkannya. Namun begitu, adakah kepercayaan sebegini wajar?

Saya ingin memberi pencerahan untuk topik ini menggunakan satu contoh. Katalah saya adalah seorang doktor yang berjalan dari rumah ke rumah untuk merawat pesakit. Berjalan adalah memenatkan dan kebanyakan hari saya habiskan dengan berjalan dan bukan merawat pesakit. Untuk menjadikan perkhidmatan saya lebih efisien saya ingin membina sebuah kereta. Ini membolehkan saya memotong masa saya berjalan dan merawat lebih banyak pesakit. Saya tidak tahu apa-apa mengenai kereta, oleh itu saya bukanlah pembina kereta yang baik. Kos untuk saya membina kereta sendiri adalah satu juta ringgit.

Kawan saya Arman pula adalah seorang jurutera automotif yang pernah berguru dengan Tuan Guru Toyoda. Oleh itu, Arman adalah pembina kereta yang baik dan mampu membina kereta yang sama dengan harga seratus ribu ringgit sahaja. Jika saya tidak membina kereta sendiri tetapi Arman yang membina kereta itu dan kemudian menjualnya kepada saya, maka kekayaan baru sebanyak sembilan ratus ribu ringgit akan dijana kerana Arman lebih cekap membina kereta daripada saya. Ahli ekonomi memanggil kekayaan baru yang dicipta ini sebagai "surplus".

Persoalannya siapa yang akan mendapat surplus ini? Jika saya orang yang rasional, saya akan membeli kereta daripada Arman jika dia membina dan menjualnya kepada saya dengan harga sembilan ratu sembilan puluh sembilan ribu sembilan ratus sembilan puluh sembilan ringgit sembilan puluh sembilan sen kerana saya akan untung sebanyak satu sen jika saya berbuat demikian. Tetapi Arman telah membuat kajian pasaran dan mendapati bahawa jika dia menjual kereta pada harga tersebut hanya saya seorang yang mampu membeli kereta buatan Arman. Tetapi jika dia menjualnya pada harga lima ratus ribu sebiji, Arman menjangka bahawa dia mampu menjual sepuluh biji dan meraih keuntungan yang lebih besar melalui jumlah.

Maka, jika Arman menjual kereta itu kepada saya dengan harga setengah juta, saya dapat jimat sebanyak setengah juta. Setengah juta ini dipanggil "consumer surplus" oleh ahli ekonomi. Arman pula akan untung sebanyak empat ratus ribu dan ahli ekonomi memanggil ini sebagai "producer surplus". (*Nota: Surplus=Consumer Surplus+Producer Surplus)

Namun begitu, Arman mempunyai seorang kembar yang juga berguru dengan Tuan Guru Toyoda bernama Arman2. Arman2 juga boleh membina kereta dengan efisien seperti Arman. Melihat Arman membuat keuntungan yang banyak, Arman2 membuat keputusan untuk menjual kereta juga. Kerana persaingan kedua-dua kembar ini, harga pasaran kereta turun separuh kepada dua ratus lima puluh ribu ringgit. Oleh itu, apabila terdapat persaingan, pengguna akan untung kerana bahagian surplus yang pergi kepada pengguna akan menjadi lebih besar.

Oleh itu, apabila terdapat transaksi ekonomi (yang bukan judi atau penipuan), surplus akan dijana. Siapa yang mendapat surplus lebih besar, sama ada peniaga atau pengguna bergantung kepada dua perkara. Yang pertama ialah permintaan terhadap barang itu. Lebih tinggi permintaan, Producer Surplus lebih besar. Yang kedua ialah persaingan daripada peniaga-peniaga lain. Lebih banyak persaingan, Consumer Surplus lebih tinggi.

Hendak dijadikan cerita, Arman mempunyai seorang lagi kembar. Kembar Arman ini malas belajar dan tidak berguru dengan Tuan Guru Toyoda. Namun begitu, kembar malas Arman cemburu melihat keuntungan besar yang diraih oleh Arman dan Arman2 dan mahu membolot semua kekayaan mereka untuk dirinya sendiri. Dia berkomplot dengan pembesar jahat negara ketika itu, Datuk Seri Bongkak. Datuk Seri Bongkak menggubal undang-undang yang menyatakan bahawa hanya kembar malas Arman yang dibenarkan untuk membina dan menjual kereta di negara tersebut.

Kembar malas Arman membina kereta dengan harga sejuta ringgit dan menjualnya dengan harga dua juta ringgit. Oleh kerana saya tidak dibenarkan membeli kereta daripada Arman dan Arman2 dan tidak boleh membina kereta sendiri, maka saya tidak mempunyai pilihan selain daripada membeli kereta daripada kembar malas Arman dengan harga dua juta ringgit.

Di dalam situasi ini, dua perkara yang berlaku. Yang pertama ialah ekonomi ini tidak mencapai potensi sebenarnya kerana sembilan ratus ribu surplus yang boleh dicapai tidak akan wujud kerana undang-undang yang digubal oleh Datuk Seri Bongkak. Yang kedua, saya perlu memberi kepada kembar malas Arman sejuta ringgit tanpa sebab yang munasabah kerana tanpa undang-undang ini, saya boleh membina kereta sendiri dan simpan sejuta ringgit tersebut. Aktiviti yang dilakukan oleh kembar malas Arman ini dipanggil "Rent Seeking" oleh ahli ekonomi. Kembar malas Arman mencipta "red tape" untuk mengutip "rent".

Situasi sebegini adalah lebih biasa daripada yang kita sangkakan. Apa-apa sekatan perniagaan atau import dan eksport akan menggalakkan "Rent Seeking". Sebagai contoh untuk membina kilang kereta di Malaysia saya terlebih dahulu perlu mendapatkan Manufacturing License (ML) daripada kerajaan. Ini bermakna kilang yang sudah beroperasi akan cenderung untuk menggunakan posisinya untuk mengutip keuntungan tanpa justifikasi. Sekatan import seperti "Approved Permit" (AP) adalah contoh  lain "Rent Seeking". Pemegang AP duduk di antara pengeksport dan pengimport dan mengutip sebahagian (atau semua) surplus. Ahli ekonomi panggil surplus yang dikutip ini sebagai "Quota Rent". Kesimpulannya, apabila pasaran bebas tanpa sekatan, maka setiap transaksi ekonomi ialah pencipta nilai.

Berbalik kepada topik asal, sebahagian besar daripada ekonomi sebenarnya adalah penciptaan nilai atau kekayaan yang baru. Namun begitu untuk mencipta nilai ini kita memerlukan faktor pengeluaran dan disinilah perbalahan boleh terjadi. Di dalam contoh Arman di atas faktor pengeluaran utama ialah ilmu pengetahuan. Di dalam contoh perbalahan tapak bazar Ramadhan faktor pengeluaran utama ialah posisi yang strategik. Ini kerana jika semua penjaja menjual makanan yang sama dengan harga yang sama, maka tapak kedai adalah faktor utama yang menentukan keuntungan. Tetapi jika peniaga ini berguru dengan Chef Wan dan menjual sebagai contoh Roti John yang tersedap di dunia, maka posisi yang strategik dan harga tidak lagi penting kerana penggemar Roti John akan datang juga tidak kira dimana gerai ini berada.

Dengan kata lain, ilmu dan kepakaran adalah faktor produksi yang paling penting kerana ia melipatgandakan faktor produksi tradisional lain seperti tanah. Oleh itu, ekonomi yang dijana oleh idea dan pengetahuan bukanlah zero-sum game tetapi "value creation". Ini disimpulkan dengan mudah oleh gambarajah daripada majalah The Economist di bawah. Jumlah tanah tetap sama tetapi jumlah kegiatan ekonomi melonjak beberapa tahun lepas ini kerana pengumpulan ilmu.


Saban kali untuk menutup kegagalan mereka sendiri untuk menjana ekonomi, sesebuah kerajaan akan menyalahkan sesetengah golongan atau negara lain. Kerajaan Myanmar gagal untuk memberi pendidikan dan mewujudkan pekerjaan kepada rakyatnya jadi mereka memesongkan perhatian rakyat dengan menyalahkan kaum Rohingya. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengelak daripada dihasut untuk menyalahkan sesama sendiri di atas keadaan ekonomi kita. Jatuh atau bangun ekonomi bergantung kepada pendidikan yang berkualiti dan institusi-institusi yang baik. Oleh itu, kita perlu bergabung tenaga dan berjuang untuk mendapatkan perkara-perkara tersebut dan bukan menyalahkan sesama sendiri.